Berita

DBKL sita skuter elektrik guna jalan awam

PENGUATKUASA DBKL menyita skuter elektrik yang beroperasi di Dataran Merdeka dalam satu operasi pada Ahad.
- Diterbit 11 Jun 2022 12:00 PM MYT

AKTIVITI skuter elektrik di Dataran Merdeka tidak dibenarkan kerana ia adalah sebahagian jalan awam yang tidak diwartakan untuk aktiviti berkenaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan tindakan itu bertepatan dengan arahan kerajaan iaitu tiada kebenaran diberikan kepada aktiviti skuter elektrik di atas jalan awam, kecuali di kawasan yang sudah diwartakan.

“Pada 4 Jun, pukul 8 hingga 10 malam tadi, anggota penguat kuasa DBKL yang membuat rondaan di lokasi telah menemukan aktiviti tanpa kebenaran ini dan bertindak melaksanakan sitaan terhadap dua buah skuter elektrik yang diletakkan di atas Jalan Raja bagi tujuan penyewaan untuk aktiviti ini.

“Tiada kebenaran dikeluarkan oleh DBKL di Dataran Merdeka bagi tujuan aktiviti permainan skuter ini. Anggota penguat kuasa DBKL juga telah membuat laporan polis terhadap pengendali aktiviti skuter ini kerana telah menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

“Skuter yang disita telah dibawa ke Stor Sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras,” katanya.

26 April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta.

Moped adalah kenderaan yang dipasang dengan dua atau tiga roda dan dipacu oleh sumber elektrik dengan kelajuannya tidak melebihi 50 kilometer sejam (km/j).

PMD dan PMA pula adalah kenderaan yang dipacu oleh kuasa manusia atau elektrik dengan kelajuan tidak melebihi 25 km/j seperti skuter elektrik dan kenderaan bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas