Berita

Insentif SUKMA ‘berbaloi’

AKSI Muhammad Hairie ketika Kejohanan Dunia 2022 baru-baru ini.
- Diterbit 11 Jun 2022 7:00 AM MYT

PENGUMUMAN Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) bakal memberi insentif lumayan kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada SUKMA akan datang disambut baik oleh atlet Wilayah Persekutuan.

Rata-ratanya teruja dengan ganjaran tersebut dan menyifatkan ia berbaloi atas usaha penat lelah mereka untuk memberi persembahan terbaik pada kejohanan yang amat dinantikan setelah tertangguh sejak dua tahun lalu ekoran pandemik COVID-19.

Menurut atlet muay thai, Muhammad Hairie Mahmad yang berjaya menyumbang emas pada Kejohanan Dunia 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, insentif tersebut menjadi pendorong semangat buatnya dan rakan-rakan.

“Sudah tentu saya akan buat yang terbaik di pentas SUKMA tambahan pula saya baru sahaja memenangi pingat di peringkat dunia. Selain itu, ini juga merupakan persembahan terakhir di SUKMA, jadi saya target emas,” ujarnya kepada Wilayahku.

NURIZZATY

Bagi atlet silat, Nurizzaty Natasha Kamaruddin pula, tidak mustahil untuk atlet meraih pingat memandangkan persiapan rapi telah pun dilakukan sebelum bermulanya SUKMA pada September akan datang.

“Selain persiapan biasa, atlet juga turut mengikuti Kem Latihan Atlet SUKMA Wilayah Persekutuan (KLAS) selama tujuh hari baru-baru ini, jadi saya rasa tak mustahil kami dapat lakukan yang terbaik.

“Saya rasa insentif tu okey sangat. Dalam masa yang sama, ada sesetengah atlet yang eksentrik, lebih kepada perlukan ganjaran jadi dengan pengumuman tersebut dapat memberikan semangat yang lebih lagi,” katanya.

MUHAMMAD ALIFF

Ia turut dipersetujui oleh atlet silat, Muhammad Aliff Hakimi Azhar yang menganggap insentif tersebut sangat berbaloi untuk atlet memandangkan mereka bersungguh melakukan latihan sehingga ada yang sakit badan.

“Sekurang-kurangnya dengan duit tu dapatlah pergi rawatan seperti berurut dan sebagainya. Memandangkan ini juga kali terakhir saya beraksi di SUKMA, jadi saya nak rebut peluang ini,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas