Berita

Kakitangan kerajaan syukur dibantu

AZMAN (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan kepada Tarmizi di Presint 11
- Diterbit 8 April 2024 3:09 PM MYT

BARU-BARU ini, seorang kakitangan kerajaan, Mohd Tarmizi Md Yusof, 43, ditimpa bencana apabila kuarters kediamannya yang terletak di Presint 11 terbakar dipercayai berpunca daripada wayar pendingin hawa.

Kejadian malang tersebut berlaku pada 22 Mac lalu di saat umat Islam sibuk membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Menceritakan detik malang tersebut, Tarmizi berkata ketika peristiwa berlaku, dia berada di bilik kedua sementara isterinya berehat di bilik utama kerana kurang sihat.

“Kira-kira pukul 4.50 petang, isteri menjerit kerana cadar terbakar. Saya cuba padamkan api dengan menggunakan air di tandas namun tidak berhasil kerana api marak dengan cepat dan menyambar langsir.

“Mujurlah tindakan pantas pihak bomba memadam api menghalang daripada merebak ke rumah jiran,” ujarnya yang menetap di kediaman tersebut sejak tahun 2009.

Reda dengan ujian di bulan Ramadan, dia bersyukur pelbagai pihak tampil menyampaikan sumbangan tidak terkecuali Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Terima kasih kepada PM, seluruh warga Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Perbadanan Putrajaya (PPj), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Putrajaya, ahli keluarga, sahabat dan jiran yang banyak membantu.

“Kami mengalami kerugian kira-kira RM8,000 akibat kebakaran. Mujurlah pihak BPH membantu menyediakan rumah transit di Presint 8 untuk kami berteduh sementara,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia kini amat memerlukan tilam dan katil bagi mengurangkan rasa sakit kerana pernah mengalami kecederaan tulang belakang akibat bersukan.

Terdahulu, Ketua Cabang Keadilan Putrajaya merangkap kakitangan PPj, Muhammad Fikri Abdul Aziz mengiringi Setiausaha Politik PM, Datuk Azman Abidin serta Naib Presiden PPj, Nik Shukri Nik Soh melawat Tarmizi sekali gus menyampaikan bantuan. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas