Berita

Aplikasi Infaq YWP salur bantuan buat warga kota

INFAQ YWP dapat membantu warga kota memiliki bantuan meliputi aspek pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.
- Diterbit 8 April 2024 3:07 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) memperkenalkan platform Infaq YWP bagi membantu dan mempermudah saluran bantuan disampaikan kepada masyarakat khususnya mereka yang memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya & Labuan.

Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik dan IT YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata platform yang diasaskan sejak tahun lalu (2023) adalah untuk membantu masyarakat menemui kaedah yang tepat dalam menyampai dan menerima bantuan.

“Di Infaq YWP, kami menyediakan kaedah kepada sesiapa sahaja untuk mengumpul dana sama ada dalam bentuk barangan, kewangan atau sebagainya.

“Matlamat kami adalah untuk membudayakan perasaan prihatin kepada rakyat tempatan yang susah, selain mempromosikan amalan memberi sumbangan dalam kalangan masyarakat, sama ada untuk diri sendiri, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan,” katanya.

Menurut Datin Dr Ida, Infaq YWP menawarkan lima jenis program meliputi aspek pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.

“Bagi program pendidikan, ia merangkumi empat pecahan bantuan, antaranya Bantuan Pemakanan Untuk Pelajar Sekolah Menengah, Program Khas Pendidikan, Bantuan Pelajar Tercicir serta lain-lain bantuan pendidikan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke institut pengajian tinggi (IPT).

“Program sosial pula meliputi lapan aspek antaranya Bantuan Persediaan Bencana, Bantuan Khas YWP, Program Baik Pulih Kediaman Asnaf, Skim Prihatin dan sebagainya.

“Untuk program ekonomi pula ia memfokuskan terhadap pembangunan Program MyGrocer dan Program Pembangunan Usahawan; Program Agama memfokuskan kepada kelas pengajian Al-Quran dewasa dan kanak-kanak, manakala program teknologi pula memfokuskan kepada Program Literasi Digital bagi meningkatkan penguasaan teknologi di kalangan kanak-kanak dan dewasa,” katanya.

Jelas beliau, menerusi platform itu juga, para penyumbang boleh melihat jumlah kutipan dana tunai yang disumbangkan secara live menerusi platform pembayaran digital ToyyibPay, yang membolehkan transaksi kewangan secara mudah dan selamat selain ia juga turut menawarkan pelbagai kaedah pembayaran serta tahap kebolehpercayaan yang tinggi.

Bagi setiap sumbangan tunai, para penyumbang juga akan mendapat resit potongan cukai di bawah Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri, Seksyen 44(66), yang die-mel oleh sistem ToyyibPay.

“Caranya mudah sahaja, orang ramai hanya perlu pilih jenis dan jumlah sumbangan yang ingin diberikan. Kemudian ikut sahaja langkah-langkah mudah yang dipaparkan untuk menyelesaikan proses pembayaran tersebut,” ujarnya.

Kepada yang berminat untuk terlibat dalam usaha murni Infaq YWP ini, orang ramai boleh hubungi YWP di talian 03- 2698 3075 (Faks) atau e-mel di [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas