Berita

Kajian semula struktur percukaian, SARA antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Mac 2024 8:25 AM MYT

LANGKAH kajian semula struktur percukaian semasa dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) antara isu yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat melalui laman rasmi Parlimen, isu mengenai langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula struktur percukaian semasa dengan mengambil kira keperluan perubahan ekonomi semasa akan dibangkitkan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) pada sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Zahari Kechik (PN-Jeli) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah penerima dan peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan melalui SARa.

Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pula mahu Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini projek rintis pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara dan sasaran tarikh agensi baharu ini dijangka mula beroperasi.

Persidangan hari ini juga menyaksikan dua rang undang-undang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 dan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.

Hari ini ialah hari terakhir Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang berlangsung selama 19 hari bermula 26 Feb lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas