Berita

JPJ dan SPRM komited perkasa integriti tadbir urus

- Diterbit 29 Disember 2020 4:16 AM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited, memperkasakan aspek integriti dan tadbir urus telus dalam pelaksanaan tugasan rutin, melalui hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua jabatan itu.

JPJ dan SPRM dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, satu kerangka kerja dan kolaborasi rapat telah diwujudkan, ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh Pejabat JPJ.

Perkara itu diputuskan ketika kunjungan hormat Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki, semalam.

Zailani berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku yang melibatkan mana-mana warga kerjanya dengan pihak-pihak luar yang bersangkutan dengan aspek integriti.

Menurutnya, JPJ mengamalkan pendekatan polisi ‘pintu terbuka’ dan bersedia menerima apa-apa syor daripada orang awam, ke arah meningkatkan kecekapan jabatan dalam penyampaian perkhidmatan kepada orang awam.

“Saya berazam meningkatkan imej positif JPJ ke tahap lebih tinggi, dan meningkatkan tahap integriti kalangan warga kerja jabatan tanpa mengesampingkan aspek kolaborasi rapat dengan jabatan atau agensi penguatkuasaan lain, di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Azam berkata pihaknya menyambut baik hasrat itu dan berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), di Bahagian Integriti JPJ.

“Sejak dahulu lagi hubungan strategik antara pihak JPJ dan SPRM telah direalisasikan melalui pelaksanaan operasi bersama, seperti op kenderaan klon, penipuan ujian lesen memandu dan lain-lain.

“Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM), yang telah dimeteraikan pada 2017, ke arah usaha untuk menambah baik dan memantapkan hubungan kerja antara dua jabatan ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas