Berita

Jiwa Madani galak daftar PADU

AZMAN (kiri) menyampaikan sijil kepada wakil DOSM
- Diterbit 8 Mac 2024 11:30 AM MYT

JABATAN Penerangan Malaysia (JaPen) Labuan dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganjurkan Program Jiwa Madani: Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) sebagai satu platform bagi menggalakkan masyarakat untuk mengemas kini data dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menurut Pengarahnya, Azman Sipan, penganjuran program itu adalah bertujuan memberi pendedahan dan maklumat mengenai kepentingan PADU kepada komuniti.

Katanya, menurut rekod DOSM, setakat 29 Februari hanya seramai 11,846 orang telah mengisi data ke dalam sistem PADU.

“JaPen Labuan mengambil peluang melalui program ini bagi mengajak semua pihak khasnya komuniti di peringkat akar umbi bersama-sama menjayakan hasrat Kerajaan menjadikan PADU sebagai pangkalan data utama negara yang selamat dan komprehensif,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya sentiasa memberikan kerjasama yang padu kepada DOSM untuk bersama-sama mempromosikan PADU ini kepada semua golongan masyarakat di pulau itu.

“Kita berharap Program JIWA ini menjadi satu platfom terbaik buat JaPen Labuan untuk bekerjasama dengan masyarakat setempat dalam usaha memasarkan dan menyampaikan dasar kerajaan selain menyemarakkan semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas