Berita

Jalaluddin komited baik pulih Jelebu

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meninjau kawasan banjir di sekitar kawasan Jelebu, Negeri Sembilan.
- Diterbit 24 Disember 2021 7:16 AM MYT

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa pihaknya membantu operasi membaik pulih kawasan daerah Jelebu yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Difahamkan beliau telah berhubung dengan pihak Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk membekalkan bekalan air bersih di kawasan terjejas dalam kadar segera.

“Setakat petang semalam loji Kuala Klawang sudah dibaik pulih sebanyak 65 peratus manakala loji Titi hampir 70 peratus siap. Hanya loji Kampung Langai belum dibaik pulih dan kerana itu mangsa masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Bagi kemudahan infrastruktur jambatan, jalan raya dan sebagainya yang mengalami kerosakan, tindakan segera telah diambil dan sedang berada di bawah pemerhatian Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas lawatan pascabanjir di Pusat Penempatan Sementara Dewan Besar D’Sury, Kuala Klawang bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, semalam.

Menjawab persoalan mengenai kebenaran mangsa untuk kembali ke kediaman masing-masing, Jalaluddin mengharap agar operasi baik pulih dapat diselesaikan selewat-lewatnya minggu hadapan agar mangsa dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Ketika ini ada beberapa jambatan yang sedang dalam pembinaan dan bekalan air pula selewatnya akan dibekalkan dalam tempoh dua hari lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pejabat Parlimen Jelebu bersama ahli berhormat Barisan Nasional akan turun padang melakukan gotong royong perdana pada Sabtu ini.

“Kami faham keadaan banjir akan mengakibatkan pelbagai kesan sampingan. Oleh sebab itu, kami datang membersihkan kediaman mangsa banjir secepat mungkin,” tambahnya.

Jalaluddin turut merakamkan penghargaan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pemimpin sukarelawan yang datang membantu dan menyumbang barangan berbentuk makanan, barangan peribadi dan juga tenaga bagi kerja pembersihan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas