Berita

Shahidan santuni mangsa banjir di Jelebu

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melawat 39 keluarga mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan D'Sury, Kuala Klawang, Negeri Sembilan.
- Diterbit 24 Disember 2021 7:14 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyantuni mangsa banjir Jelebu yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan D’Sury, Kuala Klawang, semalam.

Beliau yang ditemani isterinya, Datin Seri Shamsiah Md Yassin bersama Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga turut melawat tempat-tempat yang mengalami kerosakan seperti rumah dan jambatan.

“Kebanyakan tempat terputus hubungan apabila jalan raya atau jambatan yang menghubungkan telah runtuh.

“Sekiranya jambatan roboh dan rumah-rumah mengalami kerosakan menunjukkan kawasan tersebut dilanda banjir yang serius,” katanya yang berganding bahu dengan ahli parlimen Jelebu dalam membaik pulih kawasan Jelebu.

Menurut Shahidan bantuan-bantuan yang dibawa bersama diterima daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dari segi keanggotaan sukarelawan bagi membantu membersihkan kawasan di peringkat pasca banjir.

“Selain kawasan Jelebu, untuk bantuan pasca banjir ini, kita beri perhatian kepada negeri-negeri lain yang turut terjejas seperti Hulu Langat.

“Di Selangor juga kita berikan perhatian khusus dengan menggerakkan kekuatan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk membantu di Taman Sri Muda, Bukit Changgang dan Dengkil,” jelasnya.

Sementara itu, Shahidan memaklumkan keadaan di Wilayah Persekutuan masih terkawal namun tumpuan diberikan kepada kawasan cerun runtuh yang mana melibatkan Bangsar Indah dan Seri Duta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas