Berita

Isu penjaja vs penguatkuasa: Ini kata Menteri Wilayah…

|
- Diterbit 16 Ogos 2020 8:10 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja dan peniaga yang menjalankan perniagaan di lokasi yang tidak dibenarkan di sekitar ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa sama, beliau mahu DBKL turut mengambil pendekatan mendengar perkara yang dibangkitkan peniaga dan membantu memudahkan mendapat lesen perniagaan, serta menempatkan mereka di lokasi yang sesuai.

“Saya tak nak ada isyarat yang salah, seolah-olah saya benarkan semua orang untuk menjaja di mana-mana saja, termasuklah hingga menghalang lalu lintas dan menimbulkan gangguan awam.

“Proses penguatkuasaan akan berjalan sepanjang masa bagi menentukan apa yang boleh dan tidak boleh, cuma saya minta DBKL amalkan kaedah yang bersifat murni dan membantu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan lesen kepada penjaja di Batu Muda Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan, Datuk Yahaya Mat Ghani dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu, Gulam Muszaffar.

Annuar berkata, pendekatan berhemah perlu diamalkan oleh DBKL dalam mengatasi masalah yang melibatkan penjaja.

“Kita harus membantu peniaga ini terutama golongan muda, yang berniaga di tempat yang salah atau berniaga tanpa lesen.

“Kita kena galakkan mereka mengambil lesen dan membantu mereka mencari ruang yang boleh dibenarkan untuk mereka berniaga,” katanya.

Annuar juga mengingatkan peniaga dan penjaja kecil tidak mengambil kesempatan itu untuk berniaga di lokasi yang menghalang lalu lintas, merosakkan kemudahan awam, menimbulkan ketidak selesaan awam dan tidak menjaga kebersihan.

Mengulas mengenai isu yang berlaku di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini, Annuar menjelaskan perkara itu bukan salah penguat kuasa kerana mereka sudah memberikan notis sebelum ini, dalam masa sama, beliau memahami penjaja kecil hanya mahu menumpang mencari rezeki di situ.

”Kita telah belanja hampir RM100 juta naik taraf Taman Tasik Titiwangsa, tentu orang nak tumpang cari rezeki. Kita kena pastikan ada pengurusan bandar yang seimbang, iaitu cakna pada peniaga kecil yang wujud bersama kemajuan bandar, di samping menguruskan perniagaan yang besar.

“Dalam kawasan taman itu, jika ada ruang untuk peniaga, DBKL perlu benarkan kerana waktu perancangan dulu tak fikir soal itu. Kalau tak boleh, cari ruang di luar taman.

“Selepas ini, kalau ada perancangan begitu (naik taraf), kena sediakan ruang untuk peniaga. Bandar raya tak rosak jika beri ruang pada orang kecil meniaga, cuma kena kawal,”katanya. -OLEH AZLAN ZAMBERY -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas