Berita

Industri pertahanan negara mampu berkembang luas

MILDEF salah sebuah syarikat yang mampu bersaing dalam industri negara akan datang.
- Diterbit 4 Februari 2021 2:01 PM MYT

INDUSTRI pertahanan negara berpotensi berkembang lebih luas di peringkat sejagat selain berupaya mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing sekiranya mendapat sokongan kerajaan.

Ini kerana, berdasarkan kecanggihan teknologi serta pelaburan yang besar, keterlibatan dan sokongan tinggi kerajaan diperlukan untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi menguasai pasaran luar.

Menurut kajian sebuah firma perunding penyelidikan tempatan, MQ Consultant, daripada perspektif ekonomi, membangunkan pemain tempatan mungkin akan melibatkan kos yang tinggi tetapi ia memberi pulangan besar berikutan negara dapat mengurangkan kos import produk pertahanan.

Bagi MQ Consultant, industri pertahanan tempatan kini bulan lagi sekadar terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tetapi mendepani tugasan lebih canggih yang melibatkan reka bentuk serta pengeluaran dalam pelbagai sektor termasuklah aeroangkasa, automatif, maritim dan ICT.

Bagaimanapun, katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jurang dalam teknologi pertahanan serta ketenteraan Malaysia dan negara-negara membangun yang lain menjadi semakin lebar.

“Pakar-pakar industri berpendapat, jurang tersebut dipercayai berpunca daripada kekurangan sumber manusia berkelayakan dalam ekonomi negara yang mampu untuk menyerap teknologi serta kawalan permintaan eksport negara-negara pengeluar senjata.

“Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila pengeluar peralatan asli (OEM) enggan memindahkan pengetahuan dan kepandaian teknologi kritikal kerana bimbang kehilangan penguasaan pasaran yang dimiliki mereka.

“Keupayaan untuk tidak bergantung kepada pembekal industri pertahanan luar negara direncatkan lagi dengan penyusutan ketara dalam peruntukan belanjawan kerajaan untuk pembangunan pengiat tempatan industri tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk makluman, pelbagai projek bernilai jutaan ringgit telah dilaksanakan sehingga kini sejak industri pertahanan negara bermula pada 1976 dengan penubuhan AIROD bagi menyokong kerja-kerja penyelenggaraan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Salah satu daripada projek utama dalam industri pertahanan negara ialah projek kapal tempur persisir atau ‘Littoral Combat Ship’ (LCS) yang bernilai RM8 bilion untuk kegunaan TUDM dan AIROD turut diiktiraf di seluruh dunia sebagai organisasi MRO serta kekal menjadi pusat MRO aviasi terunggul negara.

Sehingga kini Malaysia membangunkan lebih 80 buah syarikat industri pertahanan tempatan, bagaimanapun kebanyakan syarikat terlibat hanya memiliki kepakaran tahap sederhana dalam pemasangan, penyelidikan dan pembangunan juga reka bentuk.

Syarikat-syarikat berkenaan termasuklah Nadi Defence Industries Sdn Bhd dan dua subsidiarinya iaitu SMEO dan SMEA serta Weststar Defense Industries dan yang terbaharu, MILDEF International Technologies.

MILDEF kini memiliki kepakaran dalam bidang kajian dan pembangunan, reka bentuk, aplikasi serta penyelenggaraan (R&D) yang merupakan elemen penting dalam pembangunan industri pertahanan.

Malah MILDEF telah berjaya mereka bentuk dan mengeluarkan Kenderaan Berperisai Bermobiliti Tinggi (HMAV) dan dihasilkan dengan kepakaran Malaysia sepenuhnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas