Berita

Agong perkenan luaskan kapasiti jemaah di masjid mulai esok

- Diterbit 4 Februari 2021 1:45 PM MYT

SERI Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah telah memperkenankan untuk meluaskan kapasiti jemaah di masjid seluruh Wilayah Persekutuan bermula 5 Febuari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan terbaharu itu dilakukan setelah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah termasuklah mengadakan aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat.

“Kebenaran ini diberikan untuk memperluaskan kapasiti jemaah solat Jumaat kepada separuh daripada kapasiti sebenar masjid dan surau Jumaat dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Jemaah solat fardu lima waktu pula diperluaskan kepada separuh daripada kapasiti dewan solat utama masjid, surau Jumaat dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,

“Aktiviti tazkirah sebelum solat Jumaat juga dibenarkan diadakan selama 30 minit di masjid, surau Jumaat dan surau yang diberikan kebenaran khas untuk solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Ajib menegaskan kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau turut menyeru kepada umat Islam untuk terus berdoa agar penularan wabak COVID-19 dalam negara segera berakhir.– AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas