Selebriti

Hayati Nuzul Quran… Suwaru Fil Quran dorong masyarakat hafal 114 surah

|SUWARU Fil Quran diterbitkan oleh Inteam Digital.|
- Diterbit 1 Mei 2022 5:36 AM MYT

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran kepada umat Islam. Pada setiap 17 Ramadan, umat Islam akan meraikan hari Nuzul Al-Quran sempena memperingati peristiwa agung ini.

Sempena sambutan Nuzul Al-Quran baru-baru ini, Inteam Digital tidak ketinggalan  mengajak orang ramai untuk mengingati Nuzul Al-Quran dengan menerbitkan single terbaru berjudul Suwaru fil Quran (Surah-surah di dalam Al-Quran).

Single terbaru ini menampilkan 2 anggota dari kumpulan Zayne iaitu Mateen dan Naufal serta penampilan istimewa Qari dari Inteam Digital iaitu Ustaz Khairul Anuar Basri Al-Hafiz.

“Tujuan lagu ini dihasilkan ialah bagi mengajak pendengar menghafal serta mengingati 114 nama-nama surah di dalam Al-Quran sempena Nuzul Quran ini,” ujar Ustaz Khairul Anuar.

Mateen pula meluahkan rasa bersyukur apabila diberi peluang merakamkan lagu Suwaru Fil Quran.

“Lagu ini pernah dipopularkan oleh kumpulan Nadamurni, kemudian dirakam semula oleh kumpulan Adikku Sayang, dan kini kami rasa bertuah kerana turut berpeluang menyanyikan lagu zaman kanak-kanak kami ini,” ujarnya.

Manakala Naufal pula berharap masyarakat menyokong lagu terbaharu mereka.

“Alhamdulillah, sesi rakaman suara dan penggambaran video muzik bagi lagu ini berjalan lancar dan kami tidak memerlukan masa yang lama untuk menyiapkannya. Kini ia boleh didengari di seluruh platform muzik digital dan ditonton di rangkaian Youtube Inteam Digital,” tambah Naufal.

Naufal, Mateen & Ustaz Khairul Anuar yang menyanyikan lagu Suwaru Fil Quran (surah-surah dalam Al Quran)

Single Suwaru Fil Quran telah dilancarkan dalam sebuah majlis kesyukuran dan iftar oleh pihak Inteam Digital yang turut disertai acara penganugerahan selebriti paling tinggi strim digital dan tontonan di Youtube di bawah label Inteam Digital kepada Ustaz Khairul Anuar Basri Al-Hafiz selaku penyandang gelaran tersebut.

INTEAM bersama anggota Zayne, Naufal & Mateen serta Ustaz Khairul Anuar, Qari pertama dalam rakaman Al Quran 30 juzuk.

 

ANUGERAH Strim Tertinggi 2021. Qari pertama dalam rakaman 30 Juzuk dalam bentuk digital.

Untuk rekod, Ustaz Khairul Anuar Basri Al-Hafiz telah merakamkan 30 juzuk penuh bacaan Al-Quran secara murattal di bawah Inteam Digital beberapa tahun lalu dan rakaman tersebut telah mendapat kelulusan bahagian kawalan dan semakan Al-Quran di bawah Kementeria Dalam Negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas