Selebriti

Kembali aktif jayakan persembahan di Filipina, Min Yasmin beraya tanpa keluarga

|MIN Yasmin menjayakan persembahan di beberapa lokasi sempena kempen pilihan raya Filipina.
- Diterbit 2 Mei 2022 12:57 PM MYT

DEMI menjayakan peluang keemasan, penyanyi bersuara hebat Min Yasmin menyambut Hari Raya Aidilfitri di Tawi-Tawi, Filipina kerana terbabit dengan persembahan sempena kempen pilihan raya negara itu.

Menurut pelantun lagu Belum Lelah Setia itu, dia bersyukur rezeki untuk kembali aktif di negara itu akhirnya tercapai.

“Alhamdulillah, selepas dua tahun tidak boleh ke luar negara, tahun ini rezeki saya dapat kembali ke Filipina. Seperti semua tahu, Tawi-Tawi ibarat rumah kedua saya kerana sering ulang alik membuat persembahan selain pernah mengadakan konsert.

“Kali ini, saya dijemput untuk membuat persembahan di beberapa lokasi sempena kempen pilihan raya Filipina. Satu penghormatan buat saya daripada pihak kerajaan di sini.

“Bagi saya, ini satu lagi peluang keemasan selain dapat melepas rindu dengan seluruh peminat di sini,” katanya.

Min Yasmin bersama suami juga komposer Julfekar bertolak sejak 26 April lalu dan berada di sana selama 29 hari.

MIN Yasmin menjayakan persembahan di beberapa lokasi sempena kempen pilihan raya Filipina.

Berkongsi lanjut, Min berkata ini kali pertama dia berhari raya di perantauan.

“Apabila mendapat tawaran ini, tentu saja saya dan suami berbincang. Apatah lagi tarikh penerbangan kami kurang seminggu lagi untuk menyambut hari raya.

“Namun, apabila difikir semula tawaran ini bukan selalu datang. Jadi, saya dan suami bersetuju. Memandangkan kami pergi berdua, jadi tidaklah saya berkeseorangan menyambut raya. Ditemani suami juga satu rahmat biarpun tak dapat bersama keluarga lain.

“Nak kata sedih, memanglah sedih sebab kali pertama tak dapat beraya dengan mak, adik beradik dan keluarga. Tentu saja paling dirindukan adalah juadah pada pagi raya,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas