Berita

Hanya tiga aduan rasmi berkaitan kenaikan harga minyak masak botol

|
- Diterbit 18 Januari 2021 5:48 AM MYT

HANYA tiga aduan rasmi berkaitan kenaikan harga minyak masak dalam botol diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak awal tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata satu aduan diterima di Putrajaya manakala dua lagi di Johor.

Beliau berkata KPDNHEP tidak mengambil mudah aduan berkenaan dan telah turun melakukan pemeriksaan di peringkat peruncit sekiranya wujud unsur pencatutan.

“Hasilnya sebanyak enam notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikemukakan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya.

Rosol yang merupakan Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM500 kepada 119 orang termasuk peniaga dan penjaja yang terjejas akibat penularan COVID-19, di pejabatnya di sini hari ini.

Kebelakangan ini, orang ramai merungut dalam media sosial yang mendakwa berlaku kenaikan pada harga minyak masak dalam botol seberat lima kilogram antara RM25 hingga RM28 sebotol, berbanding RM19 hingga RM22 sebotol sebelum ini.

Ditanya sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk mengawal harga minyak masak dalam botol seperti minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram (RM2.50), Rosol berkata tiada perancangan ke arah itu kerana tumpuan kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang kebanyakan menggunakan minyak masak dalam polibeg.

“Harga minyak sawit mentah dunia kembali meningkat bermula pada Jun 2020 sehingga kini…tidak mustahil perubahan harga minyak mentah ini memberi kesan kepada perubahan harga minyak masak botol yang dijual di pasaran,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas