Berita

Rasuah: SPRM tahan 467 penjawat awam tahun lalu

- Diterbit 18 Januari 2021 8:17 AM MYT

SEPANJANG tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan  467 penjawat awam atas pelbagai kesalahan rasuah.

Menurut statistik tangkapan yang dipaparkan oleh laman web rasmi SPRM hari ini, jumlah itu melibatkan 349 individu daripada kumpulan sokongan; pengurusan dan profesional (109) dan kumpulan pengurusan tertinggi (9).

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding 525 penjawat awam yang ditahan atas kesalahan terbabit pada 2019.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata penglibatan penjawat awam dalam pelbagai kes rasuah amat membimbangkan dan isu integriti serta salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

Ekoran itu, Azam meminta penjawat awam agar bekerjasama dengan SPRM untuk menangani isu itu dengan menjadi pemberi maklumat atau whistleblower. – BERNAMA

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas