Berita

Guna rakaman CCTV saman pesalah jalan raya

JALALUDDIN (tengah) menerangkan kesalahan yang dilakukan seorang pemandu kenderaan berat semasa Operasi Bersepadu Laluan Waktu Terhad pada Rabu.
- Diterbit 8 Julai 2022 6:06 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menaik taraf
kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) miliknya bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kepada pesalah lalu lintas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata gambar dan video yang dihasilkan oleh CCTV ini boleh dijadikan bahan bukti untuk mengambil tindakan tersebut termasuk mengeluarkan saman kepada orang ramai yang melanggar undang-undang.

“CCTV ini mempunyai ciri-ciri yang boleh melihat dan mengenal pasti sebarang aktiviti pelanggaran undang-undang termasuklah memarkir kenderaan yang tidak mengikut peraturan.

“Selain itu, ia juga boleh melihat dengan jelas peniaga yang menjaja di kawasan yang tidak dibenarkan termasuk menggunakan petak kuning dan lorong bas,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Laluan Waktu Terhad.

Pengerusi Task Force Kesesakan Jalan Raya itu berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan dengan pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Jabatan Penguatkuasaan (JPK) DBKL bagi mendapatkan nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang serta Pejabat Peguam Negara (AG) sebelum tindakan itu dilaksanakan.

“Pandangan AG diperlukan untuk melihat apakah pendekatan mengeluarkan saman melalui bukti yang dikemukakan melalui tangkap layar CCTV ini bertepatan dengan undang-undang kerana teknologi CCTV ini boleh merakam gambar kenderaan serta sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dengan tepat.

“Apa yang hendak dilakukan, melalui bukti itu, kita boleh keluarkan saman kepada mereka yang melanggar peraturan.

“Selain itu, kita juga menjangkakan perkara berkenaan akan di
bawa ke mahkamah oleh pesalah trafik berkenaan, jadi dengan nasihat AG ini, ia adalah persediaan ke arah itu,” katanya.

Jelas Jalaluddin, tindakan tersebut diambil bagi membantu dan meneruskan segala usaha untuk mendidik pengguna jalan raya yang suka melanggar undang-undang dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan masalah kesesakan yang disumbangkan.

“Kita telah putuskan tindakan ini akan diteruskan serta-merta dan berterusan kerana dapat memberi pendidikan kepada mereka yang mementingkan diri sendiri sehingga sering melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan tindakan kompaun yang dikenakan kepada kenderaan berat yang didapati melanggar peraturan akan diteruskan secara undang-undang malah beliau telah mengingatkan bahawa tiada campur tangan politik atau rayuan boleh diberikan kepada pesalah berkenaan. -WILAYAHKU 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas