Berita

YWP sumbang 52 ekor lembu

SUMBANGAN telah disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di Menara Seri Wilayah pada Khamis.
- Diterbit 8 Julai 2022 6:23 AM MYT

BAGI mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengambil kesempatan menyumbang empat ekor lembu kepada setiap 13 bahagian parlimen di Wilayah Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata sumbangan itu merupakan inisiatif Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang disampaikan melalui Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bahagian dan barisan kepimpinan setempat.

“Selaku pihak bertanggungjawab dalam pemberian ini, YWP menyerahkan sumbangan itu kepada MPP dan ketua-ketua bahagian kepimpinan setempat untuk dilaksanakan pada ibadah korban tahun ini dan seterusnya mengedarkan daging korban kepada penduduk.

“Sungguhpun pihak kami hanya memberi empat ekor lembu tetapi di peringkat parlimen sudah mempunyai jumlah lembunya sendiri dan pemberian ini hanya sebagai tambahan untuk diedarkan kepada penduduk.

“Penyerahan ini juga termasuk pemberian wang tunai sebanyak RM1,000 kepada semua parlimen yang mana ia adalah kos bagi pengurusan kerja seperti upah penyembelihan serta penyewaan peralatan, tempat penyembelihan dan sebagainya,” ujar beliau yang bercakap bagi pihak Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut Zaizalnizam, pengagihan lembu-lembu tersebut diserahkan dalam satu Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban kepada 13 Bahagian Parlimen di Wilayah Persekutuan yang berlangsung pada 7 Julai lalu di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pada tahun ini, YWP hanya menyumbang lembu sahaja dan segala persiapan dari segi lokasi penyembelihan serta tarikh pelaksanaan ibadah korban itu ditentukan oleh MPP bahagian masing-masing.

“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak membantu MPP dan kepimpinan bahagian dan mengingatkan warga kota tidak bergantung pada nilai dan jumlah sumbangan semata sebaliknya menghayati erti sebenar Hari Raya Aidiladha.

“Sumbangan ini adalah sebagai tambahan untuk pelaksanaan ibadah korban nanti dan saya amatlah berharap agar semua masyarakat tidak bergantung pada nilai dan jumlah yang pihak YWP sumbangkan tetapi lebih kepada erti dan bagaimana konsep Aidiladha dapat diterapkan.

“Sama-samalah kita menghayati ibadah korban itu sendiri sekali gus sebagai tanda rasa kesyukuran. Erti korban itu adalah amat besar yang juga bermaksud berkorban harta, tenaga, wang dan segalanya kerana Allah SWT,” jelas beliau ketika ditemui Wilayahku di Menara Yayasan Wilayah Persekutuan, Kampung Baru, pada Isnin.

Dalam masa yang sama, beliau juga masih dalam perbincangan untuk mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha peringkat YWP. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas