Berita

KWP hantar bantuan kemanusiaan dan sukarelawan ke Baling

SHAHIDAN (kanan) diiringi Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meninjau keadaan di Baling dalam lawatannya pada Rabu.
- Diterbit 8 Julai 2022 6:01 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menghantar sukarelawan dan bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa banjir kilat di Baling, Kedah.

Bercakap mengenai perkara itu, beliau berkata ketika bencana yang sama menimpa negeri Selangor, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi di bawahnya telah menghantar 1,500 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangannya untuk menghulurkan bantuan kepada kawasan yang terjejas.

“Kita bersedia dengan kemungkinan untuk menghantar sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

“Jumlah petugas mungkin tidak seramai yang kita hantar seperti Selangor kerana kawasan bencana di Baling itu hanyalah dua buah kampung,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Sementara itu, dua buah jentera milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta lori yang membawa muatan seperti tilam dan selimut sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah pun tiba di Baling untuk diagih-agihkan kepada mangsa yang memerlukan.

Terdahulu, Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas dalam Mukim Kupang, Baling dilanda banjir kilat pada petang Isnin. -WILAYAHKU

ISTERI Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Shamsiah Mohd Yassin menyampaikan sumbangan kepada Abdul Azeez untuk diagihkan kepada mangsa.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas