Berita

Gugup punca Perak FC (II) terkulai

- Diterbit 11 Mac 2021 3:28 AM MYT

GUGUP dan gementar antara punca tumbangnya skuad muda The Bos Gaurus, Perak FC II kepada Sarawak United FC 0-3 dalam perlawanan kedua Liga Premier semalam.

Perkara itu diakui Ketua Jurulatih Perak FC II Syamsul Mohd Saad yang melihat anak buahnya jelas gementar dan nampak tertekan dengan taktikal pasukan lawan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal serta pengalaman khasnya pada separuh masa pertama permainan di Stadium Ipoh itu.

“Barisan pertahanan kita kadangkala gementar sewaktu memegang bola serta sering membuat hantaran jauh akibat tertekan sekali gus rentak permainan kita terjejas kerana hilang kawalan bola.

“Namun, aksi pada separuh masa kedua sudah nampak kebangkitan dan keserasian, dengan pemain kita lebih banyak memegang bola dan cuba mencipta peluang dan gol namun keputusan lebih memihak kepada pasukan lawan,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan berakhir.

Tegasnya, dalam perlawanan tersebut, beliau membuat percaturan dengan menukar sembilan pemain daripada perlawanan pertama menentang Kelantan FC sebelum ini berikutan jadual padat dan perlu bermain pada sebelah petang yang pastinya akan menguji ketahanan mental serta fizikal anak buahnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sarawak United Elavarasan Elangowan pula mengakui pasukannya mempunyai pemain berpengalaman yang berjaya mengawal permainan selain mengekang kemaraan pemain-pemain muda Perak FC II daripada menguasai permainan yang diadakan dalam suhu mencecah 36 darjah Celcius.

“Kita teliti pasukan Perak FC II ini rata-rata dibarisi pemain muda yang akan mengutip segala pengalaman dan peluang yang ada. Saya percaya pasukan ini akan mencorak masa depan bola sepak Perak satu hari nanti,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Sarawak United FC memperoleh dua gol daripada penyerang kelahiran Nigeria, Uche Agba dan satu lagi menerusi bekas penyerang kebangsaan, Mohd Shahrul Idlan Talaha atau Mat Yo sekali gus mengutip tiga mata penuh untuk dibawa pulang ke Kuching. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas