Berita

Filem SEBELUM IBLIS MENJEMPUT 2, Seram Tahap Maksimum!

||CHELSEA memberi lakonan yang sangat mantap.|ANTARA babak yang menyeramkan dalam filem ini.|
- Diterbit 13 September 2020 8:13 AM MYT

FILEM Sebelum Iblis Menjemput  2  adalah filem seram Indonesia yang merupakan sekuel daripada filem Sebelum Iblis Menjemput yang ditayangkan pada tahun 2018 

Ekoran kejayaan yang memberansangkan dan atas permintaan ramai, Sebelum Iblis Menjemput 2 ditayangkan di Malaysia bermula 10 September baru-baru ini.

Filem sekuel  arahan Timo Tjahjanto ini mengisahkan Alfie (lakonan Chelsea Islan) dan Nara (Hadijah Shahab) cuba untuk melanjutkan kehidupan mereka. Namun, Alfie masih terus dihantui oleh perasaan bersalah.

FILEM Sebelum Iblis Menjemput 2 tidak buat anda tenang di pawagam

Nampaknya pertempuran Alfie dengan Iblis belum berakhir apabila dia kembali mengalami mimpi buruk yang semakin mengancam kehidupannya.

Suatu hari ada sekumpulan anak muda menculik Alfie dan Nara serta membawa mereka berdua ke rumah besar yang pernah dijadikan tempat penjagaan kanak-kanak.

Kumpulan anak muda itu terdiri daripada Jenar (Shareefa Danish), Budi (Baskara Mahendra), Gadis (Widika Sidmore), Leo (Arya Vasco), Kristin (Lutesha) dan Martha (Karina Salim).

CHELSEA memberi lakonan yang sangat mantap.

Tujuan utama mereka menculik kerana memerlukan bantuan Alfie untuk berurusan dengan iblis. 

Ini kerana, salah seorang daripada mereka diganggu oleh jelmaan hantu yang menyerupai pak Ayub yang bapa angkat mereka di rumah penjagaan kanak-kanak dulu. Ayub mati terbakar di ruang bawah tanah di rumah tersebut. 

Disebabkan Ayub merupakan seorang pemuja iblis seperti mana arwah ayah Alfie, jadi  Alfie terpaksa menolong kumpulan anak muda itu sebelum mereka menjadi korban.

Adakah Alfie mampu menyelamatkan mereka daripada ancaman Ayub yang bersubahat dengan iblis? Siapakah yang menjadi korban? 

 

Cemas dan mendebarkan sepanjang tayangan

Sepanjang tayangan filem Sebelum Iblis Menjemput 2, penonton tidak boleh duduk tenang kerana  ‘disajikan’ dengan aksi yang mendebarkan. 

Ada yang menjerit serta menutup mata kerana ketakutan. Tidak kurang juga yang melatah setiap kali babak seram.

Misalnya pelbagai jelmaan iblis dengan rupa hodoh dan sangat menyeramkan. Salah satunya adalah jelmaan Pak Ayub yang munculnya tidak diduga.

ANTARA babak yang menyeramkan dalam filem ini.

Bukan itu sahaja, saat-saat mencemaskan ketika dikejar jelmaan iblis juga membuatkan penonton turut berasa cemas dan tidak sanggup melihat apa yang berlaku seterusnya.

Selain itu, lakonan Chelsea sebagai Alfie memang tidak pernah mengecewakan. Chelsea bermain dengan emosi tahap maksimum sehingga penonton turut merasai kesakitan batin yang dialami Alfie yang terpaksa melawan iblis.

Selain Chelsea, para pelakon lain turut memberikan lakonan yang hebat dalam membawa watak masing-masing.

Kesimpulannya, filem seram berdurasi 110 minit,  Sebelum Iblis Menjemput 2 ini menyajikan tahap seram yang membuatkan penonton terbayang-bayang kisahnya walaupun sudah keluar pawagam.

Apa lagi? Jom tonton filem Sebelum Iblis Menjemput 2 di pawagam sekarang. 

Jangan lupa beli tiket dan tonton filem Sebelum Iblis Menjemput 2 di pawagam berdekatan anda sekarang!

Apa-apa pun, jaga prosedur operasi standard (SOP) ketika menonton wayang seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, pakai pencuci tangan dan sebagainya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas