Berita

Lebuhraya Persekutuan sesak sebab kerja pemasangan jambatan LRT3

NOTIS penutupan jalan dikeluarkan oleh pihak LRT3, MRCB dan JKR pada 27 Mac lepas.
- Diterbit 12 April 2024 3:00 PM MYT

JABATAN Kerja Raya (JKR) menjelaskan bahawa pelaksanaan kerja-kerja pemasangan Pedestrian Overhead Steel Bridge merentangi kedua-dua arah di Lebuhraya Persekutuan untuk ke stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu dilaksanakan demi kesejahteraan pengguna.

JKR berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung kesesakan yang berlaku di Lebuhraya Persekutuan pada Rabu lepas dari 7.30 malam hingga 1.30 pagi keesokan hari.

“Notis penutupan jalan dikeluarkan oleh pihak LRT3, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan JKR pada 27 Mac lepas.

“Penutupan itu telah diuar-uarkan melalui media sosial serta stesen radio setelah mendapat kebenaran Kementerian Kerja Raya, JKR, Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Pelaksanaan penutupan jalan dan lencongan trafik dilaksanakan setelah mengambil kira pelbagai faktor seperti cuti perayaan Aidilfitri (bukan waktu puncak), data bilangan trafik di Lebuhraya Persekutuan, penilaian risiko ke atas keselamatan pengguna jalan raya serta wujudnya alternatif lencongan trafik dari kedua-dua arah,” menurut JKR dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, penutupan jalan dan lencongan trafik itu bermula dari Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Persiaran Selangor ke laluan susur Jalan Padang Jawa bagi arah dari Kuala Lumpur dan Shah Alam ke Klang dan dari Stesen 14 LRT3 UiTM hingga Stesen Minyak Shell bagi arah Kuala Lumpur.

Terdapat laluan alternatif melalui Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dengan susur keluar di Bukit Raja ke Shah Alam dan Kuala Lumpur serta laluan dalam melewati Seksyen 14, Seksyen 2 dan Seksyen 7 Shah Alam.

“Penutupan sementara itu dilaksanakan bermula 7 malam, 10 April dan dibuka semula tepat pada waktu yang dijanjikan iaitu pada 7 pagi, 11 April. Kerja-kerja pemasangan sepanjang 56.64 meter oleh pihak LRT3 dan MRCB berjalan lancar mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan,” menurut JKR.

Stesen UiTM merupakan sebahagian daripada keseluruhan projek Pembinaan LRT3 Package GS05 di KM8.7 Lebuhraya Persekutuan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas