Berita

Saya Belum Mati – AWEERA Terkilan

|AWEERA bersama anggota Pelita Lusoh yang lain Alan dan Anep.
- Diterbit 13 September 2020 3:31 AM MYT

PENYANYI muda rock , Aweera mengaku terkilan apabila ada pihak yang sering menggunakan penyanyi lain untuk menyanyikan lagu yang sudah sinonim dengannya iaitu Romancinta.

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham,29, meluahkan tindakan itu seolah-olah menidakkan dirinya sebagai penyanyi asal yang masih hidup.

“Saya bukannya marah, cuma ada sedikit rasa terkilan apabila perkara ini berlaku.

“Saya tak salahkan artis-artis lain yang menyanyikan semula lagu Romancinta kerana itu semua keputusan produksi. Lagi pun itu bukan lagu ciptaan saya dan saya hanya penyanyi asal lagu tersebut.

“Sudah banyak Kali saya lihat ramai penyanyi bawa lagu Romancinta untuk program televisyen, seolah-olah penyanyi asal lagu ini sudah mati.

“Kadang-kadang ia seperti tribute sedangkan penyanyi asal masih ada. Saya tak marah cuma agak kecewa kenapa semua ini berlaku,” kata Aweera kepada Wilayahku. 

Menurut Aweera, hubungannya dengan komposer lagu Romancinta, Edry dan kumpulan Mojo tiada masalah. 

“Dalam masa yang sama, umum tahu yang hubungan saya dengan Edry dan Mojo sudah lama jernih. Kami tiada sebarang masalah.

“Perkara yang lepas sudahpun dilupakan dan kami masih berhubung baik. Ini kerana saya sedar, tanpa Mojo saya tak terus dikenali dalam industri.

“Begitu juga dengan sokongan media dan peminat, tanpa sokongan mereka, siapalah saya.

“Terima kasih kepada peminat yang masih ingat penyanyi asal lagu Romancinta walaupun ada pihak yang menganggap saya sudah tidak wujud. 

“Saya masih ada dalam industri ini dan saya boleh menyanyikan lagu itu secara live. 

“Saya mahu tegaskan sekali lagi, saya tidak marahkan siapa-siapa cuma sebagai penyanyi asal lagu, saya ada sedikit rasa terkilan. Itu saja,” ujarnya yang tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi sekadar meluahkan perasaan.

AWEERA bersama anggota Pelita Lusoh yang lain Alan dan Anep.

Menerusi instagram semalam, Aweera meluahkan rasa terkilan apabila ramai penyanyi lain dipanggil untuk menyanyikan lagu yang dinyanyikannya.

Pada tahun 2012, Aweera pernah jadi vokalis dalam kumpulan Mojo selama dua tahun. Selain Romancinta, Mojo juga popular dengan lagu Andaiku Bercinta Lagi.

Mojo meraih anugerah Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2012 manakala lagu Andaiku Bercinta Lagi telah berjaya melangkah ke peringkat akhir Juara Lagu 2012. 

Di peringkat antarabangsa, Aweera  telah meraih anugerah Persembahan Vokal Terbaik di Hong Kong Asian-Pop Music Festival 2013, juga melalui lagu Andai Ku Bercinta Lagi. 

Kini Aweera merupakan vokalis Pelita Lusoh yang turut dianggotai oleh Anep dan Alan. Pelita Pelusoh popular dengan lagu Kekaseh Syurga, PIL dan akan muncul dengan lagu Sulit. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas