Singgah

Fantasi dunia coklat

PENGUNJUNG berpeluang membeli-belah coklat dengan harga kilang
- Diterbit 26 Februari 2024 3:21 PM MYT

PENGGEMAR coklat pastinya pernah menonton filem ‘Charlie and The Chocolate Factory’ dan untuk merasai keterujaan yang sama, orang ramai boleh mengunjungi Muzium Coklat pertama di Asia Tenggara yang terletak di Kota Damansara.

Jika sebelum ini kita pernah mendengar kehebatan Muzium Coklat di Cologne, Jerman, Hershey’s Chocolate World di Pennsylvania, USA, Muzium Coklat di Barcelona, Spain dan sebagainya namun jangan terkejut di Malaysia juga tidak kurang hebatnya.

Muzium coklat yang cukup moden ini sangat menarik untuk dikunjungi dan magisnya ia bukan sahaja mampu memberi keterujaan kepada si cilik tetapi turut membawa golongan dewasa untuk mengimbau kembali zaman kegirangan mereka.

Baru-baru ini, penulis berpeluang menjejakkan kaki ke muzium tersebut dan tatkala melangkah masuk, penulis terliur dengan aroma coklat sekali gus berasa seolah-olah berada di dunia fantasi yang dihiasi coklat pada setiap sudut dan ruangan.

Pengurus Muzium Coklat, Muhamad Ridzwan Md Ali berkata sehingga kini Muzium Coklat telah menerima lebih daripada dua juta pelawat sejak dari awal penubuhannya.

“Muzium Coklat yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya ini telah dibuka pada tahun 2013 dan dirasmikan pada 16 Januari 2014 oleh bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Ia berkonsepkan 3E iaitu Pendidikan (Education), Pengalaman (Experience) dan Keseronokan Membeli-Belah (Enjoyable Shopping) menyediakan pelbagai paparan menarik yang interaktif dan menyeronokkan untuk memberi pengalaman serta pembelajaran terbaik untuk semua peringkat umur tentang koko dan coklat,” katanya pembinaan muzium ini telah menelan belanja lebih RM3 juta.
Muhamad Ridzwan berkata ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu Muzium Coklat 1.0 dan Muzium Coklat 2.0.

“Untuk Muzium 1.0, yuran masuk adalah percuma manakala untuk masuk ke Muzium Coklat 2.0 caj bayaran yang dikenakan serendah RM5 pada harga promosi di mana pengunjung dapat menikmati atau menyusuri pengalaman penuh ketika sesi lawatan,” ujarnya lokasi tersebut berkeluasan 1,255 meter per segi.

Replika pokok koko

Berkongsi mengenai tarikan yang ditawarkan, beliau berkata Muzium Coklat menawarkan pelbagai pameran antaranya adalah galeri yang mempamerkan replika pokok koko sebenar, kilang memproses coklat, koleksi arca dan ukiran coklat.

“Selain itu, kita juga mempunyai replika model kapal yang berkaitan sejarah teknologi pengangkutan awal biji koko serta ukiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) setinggi 11 kaki yang diperbuat menggunakan 525 kilogram coklat.

“Tidak ketinggalan, diorama atau miniatur model kereta api sepanjang sembilan meter dengan pemandangan pergunungan Switzerland terbesar di Malaysia, crazy mirror, potret kolaj menggunakan coklat M&M’s dan koleksi pameran cow parade yang asli,” katanya.

Tambahnya, Muzium Coklat turut mendapat kerjasama daripada jenama coklat terkenal antarabangsa seperti Kit Kat Nestle, Cadbury, Hershey’s, Lindt, M&M’s, Neuhaus, Loacker, Toblerone dan Ferrero. Tidak terkecuali daripada jenama coklat di bawah Syarikat DR Group Holdings sendiri iaitu FIDANI, DANSON, Millton dan juga Farell’s.

Lebih menarik, setiap pengunjung yang hadir akan disajikan dengan manisan coklat segar dan berkualiti dari dapur coklat.

“Peluang ini akan diberikan kepada semua pengunjung setelah selesai melihat demonstrasi pembuatan coklat yang diadakan di Muzium Coklat ini setiap hari pada waktu yang ditetapkan.

“Manakala bagi pengunjung yang inginkan pengalaman untuk penghasilan coklat sendiri, kita juga menyediakan kemudahan Chocolate Labs yang dilengkapi dengan kemudahan terkini serta lokasinya terletak dalam bangunan sama dengan Muzium Coklat,” ujarnya tempat tersebut dibangunkan oleh Syarikat DR Group Holdings Sdn Bhd sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberi pulangan balik kepada masyarakat dengan menawarkan pembelajaran dan pengetahuan yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sejarah serta pembuatan coklat.

Tambah beliau, bagi pelawat domestik dan antarabangsa, Muzium Coklat ini merupakan lokasi wajib singgah apabila mereka telah sampai ke Kuala Lumpur atau Selangor. Lokasinya yang tidak jauh dari lebuhraya The New Klang Valley Expressway (NKVE) atau The Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH) telah menjadikan lokasi Muzium Coklat sebagai lokasi tumpuan membeli-belah coklat di Lembah Klang.

“Oleh itu, bagi pengunjung yang melawat muzium ini, jangan lepaskan peluang untuk membeli-belah coklat pada harga kilang untuk dibawa pulang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas