Berita

EMPAT FILEM PENUH KEHANGATAN BUAT PENCINTA KOPI

||||
- Diterbit 3 Oktober 2021 2:00 AM MYT

RAMAI orang yang memulakan atau melalui harinya dengan secawan kopi. Bukan sahaja pelengkap dalam mengiringi setiap hari, kopi juga menjadi pelengkap yang popular dalam filem. Tidak hairan, adegan kopi dalam filem juga seolah-olah menjadi perkara biasa. Cukup banyak filem bertemakan kopi, atau sekurang-kurangnya ditetapkan di kafe kopi. Bukan sahaja Indonesia, negara-negara jiran seperti Korea dan Jepun juga memeriahkan dunia pawagam tentang kopi. Terdapat pelbagai genre filem berkenaan kopi yang sesuai dengan minat semua orang. Sempena Hari Kopi Sedunia pada 1 Oktober ini, Wilayahku kongsikan empat filem menarik bertemakan kopi untuk tontonan anda pada hujung minggu ini.

#1 Filosofi Kopi

Pengarah: Angga Dwimas Sasongko
Pelakon: Baitulkico Jerikho, Rio Dewanto, Julie Estelle

BEN merupakan anak petani kopi yang dibesarkan di ladang kopi. Sebuah kejadian menyebabkan ayah Ben tidak menyukai kopi lagi. Setelah berusia 12 tahun, Ben pergi ke Jakarta dan bertemu Jody, sahabatnya sehingga dewasa. Selama 18 tahun, Ben dijaga oleh keluarga Jody dan apabila mereka mencapai usia dewasa, Ben dan Jody membuka kedai kopi yang dinamakan Filosofi Kopi. Setelah kematian ayah Jody, kedai mereka berhadapan dengan hutang ratusan juta. Apakah yang akan dilakukan oleh Ben dan Jody dalam memastikan kedai serta hubungan persahabatan mereka terus kekal?

#2 Coffee Town

Pengarah: Brad Copeland
Pelakon: Glenn Howerton, Steve Little, Ben Schwartz

FILEM komedi ini mengisahkan Will seorang pengurus laman web syarikat elektronik yang menggunakan kafe tempatan, Coffee Town sebagai pejabatnya. Apabila pemilik kedai membincangkan rancangan untuk menukar Coffee Town kepada Bar, Will meminta bantuan dua rakan baiknya Chad dan Gino untuk menyelamatkan kedai kopinya. Untuk menggagalkan rancangan pemilik bandar kopi, trio itu melakukan rompakan untuk mewujudkan ilusi persekitaran tidak selamat yang tidak sesuai untuk sebuah bistro. Adakah Will berjaya menyelamatkan Coffee Town?

#3 Coffee Mate

Pengarah: Yi Hyun-ha
Pelakon: Yoon Jin-seo, Oh Ji-ho

COFFEE MATE sebuah filem melodrama mengenai In-young, seorang suri rumah tangga yang sering menghabiskan masa di kedai kopi dan melihat tingkah laku setiap pengunjung di sana. Di tempat itu, In-young sering melihat seorang lelaki yang bernama Hee-soo. Suatu hari, Hee-soo menegur In-young dan mereka bersetuju untuk menjadi teman kopi. Mereka mula bercerita dan berkongsi mengenai rutin harian serta rahsia mereka. Lama- kelamaan perasaan cinta mula berputik di antara Hee-soo dan In-young. Saksikan filem ini untuk mengetahui pengakhiran cerita mereka.

#4 A Film About Coffee

Pengarah: Brandon Loper
Pelakon: Darrin Daniel, Katsuji Daibô, James Freeman

A Film About Coffee merupakan sebuah dokumentari mengenai
kopi. Dokumentari ini adalah surat cinta dan meditasi tentang keistimewaan kopi. Filem ini membawa penonton ke seluruh dunia, dari ladang Honduras dan Rwanda ke kedai di Tokyo, Portland Seattle, San Francisco dan New York. Melalui mata dan pengalaman
petani serta barista, filem ini menawarkan gambaran keseluruhan unik mengenai semua elemen, proses, pilihan dan persiapan; tradisi lama dan baru bersatu untuk mencipta cawan kopi yang terbaik.

-WILAYAHKU- DIANA AMIR 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas