Berita

KWP bakal anjur forum ekonomi Labuan

SHAHIDAN bersama Timbalannya Datuk Seri Jalaludin Alias ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin, Kompleks Darul Kifayah MAIWP pada lawatan kerja dua hari di Labuan.
- Diterbit 2 Oktober 2021 1:48 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) bakal menganjurkan satu forum ekonomi di Labuan bagi membincangkan isu-isu pembangunan ekonomi pulau itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, penganjuran forum itu bertujuan membantu meningkatkan semula ekonomi di Labuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Katanya, pihaknya akan melaksanakan pelbagai usaha termasuklah mengadakan penganjuran forum ekonomi bagi membantu memulihkan ekonomi pulau itu.

“Bagi kami di kementerian, Labuan perlu terus berkembang dan Labuan pernah terkenal dengan tarikan ekonominya dan kami mahu pulau ini kembali ke era kegemilangannya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Darul Kifayah MAIWP, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat satu perancangan pembangunan bagi jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi Labuan terus berkembang maju dan demi kesejahteraan warga di pulau itu.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri mengenai isu ekonomi Labuan dan kita akan melihat bagaimana untuk kita memacu ekonomi Labuan ke era kegemilangannya seperti sebelum ini.

“Kami mahu Labuan mendapat limpahan ekonomi dari jirannya iaitu Sabah dan ini bermakna hubungan ekonomi antara Labuan dan Sabah perlu dipertingkat,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas