Atlet Wilayah

Hazim bersyukur kombinasi serasi bersama pasangan

MOHD HAZIM (kiri) bersama gandingannya. MOHD HAZIM (kiri) bersama
- Diterbit 3 Oktober 2021 4:00 AM MYT

ATLET bola tampar pantai Wilayah Persekutuan, Mohd Hazim Shah Abd Rahman menyifatkan gandingannya bersama pasangan Mohamad Rizwan Rahman serasi dan sukar untuk dilepaskan.

Ini kerana menurut atlet berusia 22 tahun itu, persefahaman dalam sukan berpasukan memerlukan usaha yang gigih daripada kedua-dua belah pihak dan memakan masa untuk dipupuk.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan bukan sahaja gandingan ketika bermain tetapi juga seorang sahabat yang setia. Kunci keserasian antara kami adalah dengan mengetepikan ego demi kejayaan bersama,” ujarnya kepada Wilayahku.

Katanya lagi, kombinasi mereka tepat kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mahu melakar kejayaan sehingga ke peringkat antarabangsa dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami banyak berbincang berkenaan konsep taktikal dan teknikal sebelum berdepan dengan pihak lawan dan menggunakannya sebaik mungkin. Dalam sukan bola tampar pantai, konsep ini sangat penting,” ujarnya.

Menjadikan atlet bola tampar pantai Brazil, Bruno sebagai idola dalam sukan tersebut, Mohd Hazim bagaimanapun mengakui pandemik COVID-19 yang melanda dunia menjejaskan pencapaiannya dalam bola tampar pantai.

“Banyak kejohanan yang terpaksa ditangguhkan. Kali terakhir beraksi pun pada tahun 2020 sebelum pandemik. Jadi, agak sukar sebenarnya untuk menyerlah lebih-lebih lagi latihan yang dijalankan juga terhad.

“Saya akui kebanyakan atlet turut merasai perkara yang sama namun terpaksa akur dengan situasi semasa ketika ini. Diharapkan semuanya akan kembali seperti biasa agar dapat kembali mengejar impian yang tertunda,” ujar pelajar jurusan Diploma Elektrikal,
Kolej Profesional Labuan ini.

Mula berjinak-jinak dalam sukan bola tampar pantai sejak berumur 12 tahun, anak tunggal ini berkata dia sering mewakili sekolah ketika itu dalam sebarang kejohanan sehinggalah pada akhirnya memilih untuk bergiat aktif.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan dan yang pasti mereka akan bangga dengan pencapaian saya dalam arena sukan ini sedikit masa lagi,” ujarnya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas