Berita

Eksperimen kedai makan: Premis tak patuhi arahan diarah tutup

POLIS meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi. Gambar: TheSunDaily POLIS meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi. Gambar: TheSunDaily
- Diterbit 25 Ogos 2021 7:41 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia akan mengarahkan premis makanan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditutup, susulan tindakan pasangan suami isteri yang tidak divaksin melakukan eksperimen di sebuah kedai makan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kerajaan telah memberi kelonggaran SOP ini bagi merancakkan semula ekonomi dan berharap masyarakat dapat memanfaatkannya dengan betul, dan tidak mengambil kesempatan.

“Polis dan pihak berkuasa tempatan melakukan rondaan bersama dan mana-mana premis yang tidak patuh (SOP) akan diarah tutup,” katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, dekat sini, hari ini.

Pada 8 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan individu yang telah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran termasuk solat berjemaah di masjid dan surau serta makan di restoran.

Sehubungan itu katanya, polis meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis awam berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap individu yang telah lengkap vaksinisasi.

Susulan kelonggaran berkenaan juga pihaknya akan mengurangkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah-daerah secara berperingkat, bagaimanapun SJR antara negeri akan dikekalkan.

“Saya telah mengarahkan kontinjen-kontinjen polis negeri untuk mempertingkatkan tinjauan dan pemeriksaan ini untuk pastikan SOP yang baharu ini dipatuhi semua.

Pada Isnin lepas, pasangan suami isteri itu masing-masing berusia 35 dan 36 tahun ditahan polis pukul 5 petang di sebuah premis makanan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas