Berita

Perdana Menteri, ketua pembangkang capai persetujuan

ISMAIL SABRI (dua kanan) meneliti beberapa agenda utama demi kesejahteraan rakyat bersama ketua-ketua parti pembangkang yang lain. ISMAIL SABRI (dua kanan) meneliti beberapa agenda utama demi kesejahteraan rakyat bersama ketua-ketua parti pembangkang yang lain.
- Diterbit 25 Ogos 2021 9:24 AM MYT

PAKATAN pembangkang capai persetujuan dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus serta memenuhi kehendak rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan selama lebih satu jam di pejabatnya petang tadi.

“Hadir dalam pertemuan di pejabat saya adalah Ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng.

“Pertemuan yang berlangsung selama lebih satu jam ini, tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak serta membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat serta negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

Terdahulu, pertemuan itu diadakan susulan nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi meredakan suhu politik dalam negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas