Lensa

Disiplin tinggi hasilkan diorama memukau mata

HANIFF menunjukkan pingat emas kategori diorama Standard Malaysia Competition (MALCOM) yang dimenangi di Pulau Pinang awal tahun ini.
- Diterbit 22 September 2023 6:00 AM MYT
KETELITIAN diorama yang bertajuk AL KAMEEN The Ambush
hasil sentuhan Haniff berjaya membawa pulang pingat emas di MALCOM.

DIORAMA adalah representasi visual yang menggambarkan adegan atau peristiwa dalam bentuk tiga dimensi dan merupakan salah satu bentuk seni yang memungkinkan kita untuk melihat dan merasakan suasana sebuah kisah secara realiti.

Biasanya, diorama akan dihasilkan dalam sebuah kotak atau ruangan kecil dengan skala 1:35 dilengkapi dengan penerangan dan elemen-elemen kecil bagi menggambarkan objek atau adegan yang ingin ditampilkan seperti contoh bayangan kisah bersejarah.

Menurut pereka set diorama, Mohd Haniff Mohd Yusoff, 37, salah satu contoh diorama yang sangat popular adalah diorama sejarah.

Kebiasaannya adegan yang ditampilkan berasal dari peristiwa sejarah yang terkenal dan berdampak besar. Misalnya, diorama mungkin menggambarkan suasana perang dunia ke-2. Dengan melihat diorama ini, kita dapat merasakan atmosfera dan detik-detik penting yang terjadi dalam peristiwa tersebut. Diorama sejarah memberikan kesempatan kepada kita untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang sejarah yang telah divisualisasikan dalam bentuk tiga dimensi untuk menghargai perjuangan dan pencapaian manusia di masa lalu.

Pertama kali mendengar perkataan diorama ketika menonton sesi temu ramah di televisyen sekitar tahun 2016, bekas graduan UiTM dengan kelulusan Ijazah Seni Halus ini mula berkecimpung dalam hobi mereka set diorama.

“Dengan diorama ini saya dapat mempraktikkan semula apa yang telah saya pelajari semasa di universiti. Ia tidak memerlukan ruang yang besar dan saya berpendapat bahawa diorama juga boleh menjadi alat pembelajaran yang interaktif, terutama apabila sesuatu projek yang ingin dihasilkan ia mempunyai disiplin yang tertentu seperti pencarian maklumat, kajian, bacaan, imaginasi dan kreativiti. Ia sangat kompleks. Selagi kita hidup selagi itulah kita harus belajar dan terus belajar dan diorama banyak mengajar saya perkara baru setiap kali hendak menghasilkannya”, ujar Mohd Haniff lagi.
Bagi mereka yang melihat setiap set diorama yang telah siap, ia dapat mencetuskan imaginasi mereka dan memahami konsep atau cerita yang ingin disampaikan dengan cara yang lebih visual dan menyenangkan.

“Sebenarnya saya lebih suka untuk menghasilkan diorama berkonsepkan fiksyen sains kerana saya bebas untuk memperluaskan lagi kemahiran, teknik, imaginasi dan kreativiti saya, tiada batasan untuk itu.

“Dalam pada itu diorama juga digunakan dalam industri layar lebar, khususnya filem animasi stop-motion dan digunakan sebagai latar belakang dalam filem. Diorama juga mampu untuk menghidupkan suasana pada filem animasi dan menambahkan tingkat realisme yang lebih besar”, tambah beliau.

Secara keseluruhan, diorama adalah medium unik yang dapat menggambarkan adegan atau peristiwa secara tiga dimensi. Melalui diorama, kita dapat memahami dan merasakan suasana, waktu, lokasi atau peristiwa. Ia dapat digunakan dalam berbagai bidang seperti seni, ilmu alam, pendidikan, dan hiburan. Mereka set diorama ini dapat memberikan pengalaman visual yang mendalam dan memberikan kesempatan kepada kita untuk mempelajari dan menghargai dunia di sekitar kita dengan cara yang unik dan menarik.

Selepas berjaya mendapat pingat emas bagi kategori diorama Standard Malaysia Competition (MALCOM) 2023 di Pulau Pinang anjuran International Plastic Hobby Society (IPMS), Mohd Haniff juga berharap agar suatu masa nanti seni menghasilkan diorama ini akan diangkat setanding dengan industri tampak Malaysia yang lain, katanya kepada Wilayahku sebelum mengakhiri perbualan. – WILAYAHKU – SHUAIB AYOB

DIORAMA aksi penyamaran seorang askar memburu buaya di kawasan paya.

ANTARA koleksi diorama sentuhan Haniff yang ditandatangani oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah.

DISIPLIN menyusun dan mewarna setiap set diorama memerlukan penumpuan yang tinggi untuk mendapatkan hasil realistik tiga dimensi.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas