Lensa

Dari kedai mainan ke PHC Majestic Guitar Works

- Diterbit 13 Oktober 2023 12:46 PM MYT

Oleh: AMIN FARIJ HASAN

Getaran jiwa melanda hatiku,
Tersusun nada, irama dan lagu,
Walau hanya sederhana,
Tetapi tak mengapa,
Moga dapat membangkitkan,
Sedarlah kamu wahai insan…

BEGITULAH indahnya bait-bait lagu yang dicipta seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Setiap dari kita pasti akan terbuai dengan alunan muzik, tidak kira walau apa pun genrenya ia memiliki peranan yang sangat penting dalam kehidupan sosial masyarakat.

Apabila kita bercerita tentang muzik, salah satu instrumen muzik yang banyak digunakan dan penting dalam sesebuah lagu adalah gitar kerana gitar mampu menyampaikan ekspresi unik, tersendiri dan istimewa daripada seorang gitaris ke halwa telinga pendengar. Disebabkan pengaruh instrumen magikal ini, ramai dalam kalangan masyarakat yang meminati muzik pasti memiliki gitar peribadi.

HAIREY juga menyediakan perkhidmatan rakaman di studio miliknya.

Namun ramai pemilik gitar tidak menyedari bahawa setiap gitar yang baru dibeli sebenarnya perlu dirawat dan diperbaiki agar tona bunyian yang dihasilkan tepat, sempurna dan berkualiti. Bila segalanya sempurna, perasaan si pemain gitar akan lebih mudah terhanyut dengan emosi yang dalam sehingga mampu membuai perasaan si pendengar.

Ketika Lensa Wilayahku bertemu dengan Hairey Yahya, 44, yang menjalankan perniagaan perkhidmatan membaik pulih gitar, beliau berkata “Sebelum menjalankan proses baik pulih sesebuah gitar, selok-belok setiap inci dan struktur serta dimensi gitar itu perlu difahami dahulu supaya mendapat hasil akhir yang optimum dan memuaskan hati pelanggan yang menghantar gitar kepada saya”.

Berbekalkan pengalaman bekerja sebagai seorang penyelia tapak pembinaan, disiplin itulah yang membuatkan beliau mudah untuk menyelesaikan masalah tentang gitar dengan cepat dan produktif.

ENGGUNAAN alat yang spesifik untuk menggantikan ‘fretwire’ bagi mengelakkan kerosakan pada gitar pelanggan.

“Dari saya kecil saya telah didedahkan dengan muzik kerana arwah ibu saya adalah seorang bekas pengajar instrumen piano. Tetapi lama kelamaan ketika meningkat usia remaja, saya mula meminati untuk mendalami tentang ilmu permainan gitar sehinggalah saya bertemu dengan arwah Abang Mi yang juga pemilik Studio Marina di Taman Tenaga Cheras. Di situlah saya didedahkan tentang ilmu mengenai struktur gitar dan istilah-istilahnya dengan lebih terperinci.

“PHC Majestic Guitar Works ini pada awalnya adalah perniagaan menjual alat permainan yang pernah mengalami kemerosotan ekonomi, akhirnya selepas melalui satu proses pengalaman yang panjang serta ilmu dalam selok-belok gitar, saya mula menukar arah perniagaan seperti yang ada pada hari ini. Alhamdulillah sehingga kini saya telah berjaya membaik pulih sebanyak 700 sehingga 800 buah gitar dalam tempoh tujuh tahun. Sesiapa sahaja yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan baik pulih gitar, saya pastikan anda akan mendapat hasil yang terbaik dari saya,’’ tambah beliau.

BARISAN gitar pelanggan yang sedang menunggu untuk diperbaiki.

Ketika ditanya mengenai hala tuju di masa hadapan, Hairey menyatakan beliau ingin membina sebuah empayar yang mampu menghasilkan gitar dengan jenama sendiri dan sebuah akademi yang akan membantu anak bangsa mendapat peluang pekerjaan dengan mendalami ilmu mengenai selok-belok gitar.

Pembaca boleh menonton video temu ramah dengan mengimbas kod QR yang disediakan.

Kepada pembaca yang mempunyai kisah dan hobi yang menarik dan ingin berkongsi kepada kami, sila e-melkan kepada [email protected]. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas