Berita

Dewan Rakyat lulus RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 19 Mac 2024 4:25 PM MYT

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023, antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberikan kepada sesuatu negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan sesuatu negara daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 11 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU itu hari ini berkata kuasa Perdana Menteri pada Fasal 30, 32 dan 33 adalah terhad untuk menarik balik, mengecualikan dan membuat peraturan-peraturan berkaitan dengan kekebalan yang diberikan kepada negara asing sahaja, tanpa menyentuh apa-apa kekebalan berhubung dengan ketua kerajaan atau ketua negara.

Beliau berkata penarikan balik kekebalan yang telah diberikan kepada sesuatu negara asing merupakan satu tindak balas berbangkit atau consequential reactive action sekiranya Malaysia tidak diberikan kekebalan yang setanding dengan kekebalan yang diberikan kepada negara asing terbabit.

“Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Kekebalan Negara Asing yang dianggotai oleh 12 ahli Majlis yang lain telah diberikan mandat dari segi undang-undang untuk mempertimbangkan dan memutuskan secara kolektif mengenai perkara ini yang bersifat teknikal dan operasi yang lebih sesuai dijalankan oleh pihak eksekutif.

“Oleh itu, ia bukan suatu keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri secara bersendirian,” katanya.

Menurut Azalina, RUU itu juga telah dipersembahkan dan memperoleh perkenan Majlis Raja-Raja Melayu pada 25 dan 26 Okt 2023 selaras dengan Fasal (5) Perkara 159 yang dibaca bersama dengan Fasal (4) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata RUU itu juga tidak boleh disamakan dengan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 [Akta 776], yang antara lain memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong kerana kedua-dua undang-undang berkenaan digubal bagi maksud yang berbeza dan tidak boleh dilayan secara setara.

“Sekali lagi ingin saya menekankan bahawa kuasa Perdana Menteri yang diperuntukkan dalam Fasal 30, 32 dan 33 ialah satu perkara operasi dan pentadbiran yang telah ditambah baik berdasarkan amalan sedia ada, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa. Oleh itu, berdasarkan penjelasan saya tadi, kegusaran mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri tidak berbangkit sama sekali,” katanya.

Pada sesi penggulungan itu, suasana Dewan bertukar kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen bangkit mencelah untuk meminta penjelasan berkenaan kuasa Perdana Menteri termasuk meminta perkataan Perdana Menteri itu ditukar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Antara yang bangkit mencelah ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta perkara itu diteliti bagi memastikan kedaulatan negara tidak dipersoalkan pada masa akan datang.

Azalina kemudian menjelaskan RUU itu tidak menyentuh mengenai kedaulatan negara sebaliknya melibatkan imuniti mahkamah Malaysia.

“Saya kata kedaulatan tak ada langsung dalam isu (RUU) ini, kedaulatan dalam Akta MKN (Majlis Keselamatan Negara), MKN ialah segala ibu kedaulatan, yang jaga keselamatan, (sebaliknya RUU) ini tentang imuniti mahkamah Malaysia supaya kita dapat imuniti di mahkamah asing,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas