Biz

Depresi, berkurung dalam bilik… Pengasas Laurel B bangkit muncul dengan Mixberry

|Sha meluahkan saat dirinya diuji menerusi sebuah video pendek berjudul Kembali dalam media sosial.|||||
- Diterbit 31 Ogos 2023 12:34 PM MYT

SESIAPA sahaja yang bergelar usahawan pasti tidak terlepas daripada diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Ujian yang datang sudah tentu menguji keimanan dan mental.

Itulah situasi yang pernah dilalui oleh pengasas produk Laurel B Wan Nur Siti Aishah Wan Hasan, 27 atau lebih dikenali sebagai Sha Hasan.

“Saya diuji dengan masalah rumah tangga (perceraian). Tak pernah terfikir, tak pernah terlintas yang saya akan lalui ujian sebegitu.

“Tapi apa sahaja yang Allah beri kepada kita, lalui, nikmati insya Allah pasti ada pelangi selepas hujan yang lebat.

“Akibatnya saya mengalami depresi sewaktu di awal bisnes sedang berkembang pada tahun 2018. Saya jatuh terduduk di saat bisnes berada dalam keadaan selesa.

“Tiba-tiba saya diuji dalam sekelip mata, saya kehilangan staf, saya jatuh terduduk dan saya akui sudah berputus asa.

“Saya ambil keputusan untuk tidak teruskan bisnes. Saya pernah berkurung dalam bilik lebih daripada dua minggu. Hari-hari nangis. Rasa dunia gelap.

“Saya dah tak nak buat. Rasa penat. Penat dah dengan semua ni,” luahnya.

Sha meluahkan saat dirinya diuji menerusi sebuah video pendek berjudul Kembali dalam media sosial.

Sha meluahkan rasa itu menerusi sebuah hantaran video pendek lakonan semula berjudul Kembali dalam media sosial.

Bukan sahaja diuji dengan masalah rumah tangga, Sha sekali lagi diuji apabila terpaksa berjauhan dengan anak kesayangannya, Rayyan.

“Waktu tu tidaklah sesakit sewaktu saya diuji dengan kehilangan anak (diambil oleh bekas suami). Allah uji sekejap, tapi saya rasa kaki pun tak mampu nak berjalan. Rasanya tak ada kata yang boleh diungkapkan.

“Ini Ujian yang paling sakit sebab Allah akan uji kita dengan apa yang kita Sayang. Jadi, kita sebagai ibu mestilah kita korbankan seluruh hidup kita.

“Namun Allah uji saya dengan membawa Ryan jauh. Hari-hari rasa hilang makna dalam kehidupan,” ujarnya sedih mengenang kisah pahitnya yang lalu.

SHA Hasan pada majlis pelancaran produk Mixberry

Kata orang, selepas hujan pasti ada pelangi. Begitu juga, Allah menghadirkan ujian sebelum kita mengecapi kebahagiaan.

“Kemudian saya pujuk diri balik. Kalau tak mampu berlari, kita berjalan. Kalau tak mampu berjalan, kita merangkak. Dunia ini tempat ujian.

“Alhamdulillah… Sekarang saya sudah dapat balik kekuatan saya. Rayyan sendiri memilih untuk duduk dengan saya. Begitu juga keluarga, mereka ada ketika saya perlukan mereka.

“Saya paling hargai adalah keluarga Laurel B. Waktu saya tak berdaya, mereka ada dengan saya.

“Mereka adalah hero yang tak didendang. Merekalah sebenarnya kekuatan di sebalik kejayaan yang saya kecapi hari ini,” katanya lagi.

 

Laurel B sasar jual 100,00 Mixberry akhir tahun ini

Berita gembira buat semua apabila syarikat pengeluaran produk penjagaan kesihatan dan kecantikan kulit, Laurel B menyasarkan dapat menjual produk keluarannya edisi baharu iaitu Mixberry sebanyak 100,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Sha Hasan berkata, permintaan terhadap produk itu turut mencatatkan jualan luar biasa sebanyak 10,000 unit selepas produk tersebut tidak sampai sebulan berada di pasaran.

“Bagi meningkat jualan, kami menggunakan konsep reseller di mana ketika ini terdapat lebih 2,000 reseller yang aktif menjalankan perniagaan Mixberry di media sosial.

“Kebanyakan mereka adalah pelajar dan suri rumah yang kini berjaya memperolehi pendapatan tambahan tanpa perlu keluar bekerja dari rumah,” katanya pada majlis pelancaran edisi Baharu Mixberry, baru-baru ini.

“Bagi meningkat jualan, kami menggunakan konsep reseller di mana ketika ini terdapat lebih 2,000 reseller yang aktif menjalankan perniagaan Mixberry di media sosial.” – Sha Hasan

Selain produk suplemen itu, Laurel B yang sebelum ini dikenali sebagai Shalicious Empire telah mula beroperasi di negara sejak 2017 dengan menawarkan rangkaian produk penjagaan kulit muka.

Sehingga kini, lebih 1 juta produk Mixberry telah terjual di pasaran.

Mengulas lanjut, Sha  turut memberitahu, Laurel B akan kekal aktif untuk mempromosikan rangkaian produknya di Indonesia selepas menembusi pasaran negara jiran itu sejak 2019.

Beliau berkata, ini adalah inisiatif syarikat untuk komited meluaskan rangkaian dan penguasaan pasarannya ke pasaran antarabangsa ekoran Indonesia itu memiliki beberapa faktor yang bersesuaian untuk memenuhi misi pengembangan syarikat untuk jangka panjang.

“Sebenarnya, potensi pasaran bagi produk penjagaan kesihatan dan kulit di luar negara amat luas di mana permintaan daripada pelanggan semakin bertambah kini.

“Justeru kami merancang untuk menembusi pasaran Singapura dan Brunei dalam usaha merebut peluang ini untuk meningkatkan lagi jualan Syarikat,” katanya.

Selain itu, Laurel B juga aktif dalam melakukan kerja amal sebagai tanda memberi semula kepada masyarakat.

Misalnya, Laurel B pernah menghadiahkan sebuah kereta kepada Abang Viva yang sering melakukan kerja Amal membantu mangsa-mangsa banjir. – Wilayahku

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas