Berita

DBKL roboh 108 struktur sekatan tanpa kelulusan

Kredit foto: DBKL
- Diterbit 6 Mac 2024 4:46 PM MYT

DBKL roboh 108 struktur sekatan tanpa kelulusan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 108 buah struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan ke atas empat buah premis dalam satu Operasi Tindakan Bersepadu Roboh Struktur Sekatan Dalaman, di Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang), Kuala Lumpur semalam.

DBKL berkata, operasi bersepadu dijalankan bersama kekuatan 103 orang pegawai dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan, Pejabat Cawangan Bukit Bintang, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta, Jabatan Integriti dan Jabatan Perancangan Korporat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“DBKL sebelum ini telah mengeluarkan empat notis penguatkuasaan dan tawaran kompaun pada 4 Januari lalu terhadap empat buah premis berkenaan.

“Surat pemberitahuan kesalahan kepada setiap pemilik premis turut dikeluarkan pada 16 Januari lepas dan notis pengosongan telah di tampal pada setiap unit premis berkenaan pada 29 Februari lalu untuk pemilik-pemilik premis membuka mana-mana sekatan yang dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kesemua 108 buah struktur sekatan yang dibina tanpa kelulusan telah dirobohkan mengikut kesalahan Seksyen 79, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana dijadikan pecahan lot bilik sewa atau rumah pekerja di kalangan warga negara asing.

“Operasi bersepadu berjalan dengan lancar dengan kerjasama padu dari semua pasukan agensi yang terlibat dan akan diteruskan dari masa ke semasa selepas ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas