Berita

Ops Kesan: KPDN periksa 3,460 premis, keluarkan 167 notis

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 Mac 2024 4:45 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memeriksa 3,460 premis perniagaan di seluruh negara dan mengeluarkan 167 notis menerusi Ops Kesan bagi tempoh 1 Mac hingga semalam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata peniaga yang menerima notis itu perlu memberikan maklum balas kepada KPDN berhubung pelarasan harga barang dan perkhidmatan yang dibuat di premis terlibat dalam tempoh empat hari dari tarikh notis dikeluarkan.

“Bermula hari ini kita (KPDN) sepatutnya mula terima jawapan (maklum balas) daripada pemilik premis perniagaan yang menerima notis pada 1 Mac,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan peluasan Projek Rintis SKDS 2.0 dan merasmikan Kedai Kampung Fresh Market Sdn Bhd di sini, hari ini.

Katanya maklum balas itu diperlukan agar KPDN dapat meneliti sama ada pelarasan harga dibuat perniaga adalah selari serta tidak bertentangan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Ops Kesan yang kini memasuki hari keenam itu dilaksanakan bagi memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar SST daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Ia termasuk pemantauan terhadap sektor tidak terlibat dengan SST seperti makanan dan minuman supaya tiada peniaga mengambil kesempatan menaikan harga sewenang-wenangnya.

Armizan dalam mengalu-alukan aduan daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat berserta bukti terhadap sebarang kesalahan yang dikesan melibatkan SST berkata, aduan boleh dibuat di beberapa platform yang disediakan KPDN.

Sementara itu beliau mencadangkan agar agensi seperti Perbadanan Nasional Bhd, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Halal Development Corporation, membantu syarikat peruncitan milik bumiputera untuk memasarkan produk sedia dimakan (RTE) ke pasaran global.

“Saya harap agensi-agensi ini dapat ikhtiarkan usaha agar produk RTE tempatan dapat menembusi pasaran antarabangsa serta mengembangkan sektor peruncitan negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas