Berita

Tokyo mahu bantu KL tangani masalah banjir, rendah karbon

SHAHIDAN (tengah) menyaksikan majlis menandatangani surat minat diantara Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Gabenor Tokyo, Yuriko Koike hari ini.
- Diterbit 1 September 2022 6:49 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur menjalinkan kerjasama strategik dengan Tokyo Metropolitan Government (TMG) untuk menangani masalah pengurangan karbon dan mitigasi banjir.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata kerjasama tersebut bagi memenuhi keperluan bandar raya Kuala Lumpur dalam pengurusan mitigasi banjir kilat yang melibatkan teknologi yang digunapakai oleh TMG.

“Kita berbincang mengenai Saluran Pelepasan Bawah Tanah yang sekarang ini dilaksanakan di Tokyo dan ia sesuatu yang baharu bagi kita.

“Selain itu, delegasi TMG datang untuk melawat Smart Tunnel, sesuatu yang baru bagi mereka serta ingin belajar mengenainya kerana ia boleh digunakan pada waktu biasa untuk tujuan penyuraian trafik dan ketika banjir ia boleh digunakan untuk aliran air banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Surat Tunjuk Minat (LoI) di antara DBKL yang diwakili Datuk Bandar, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dengan Gabenor Tokyo, Yuriko Koike di Kementerian Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Shahidan berkata, kerjasama yang dirintis ini turut menyentuh berkenaan perubahan cuaca ekstrim dan yang merupakan agenda global dan usaha untuk menangani masalah tersebut menjadi agenda perbincangan bersama.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas