Berita

PM tak cerewet makan, Isteri kongsi rahsia kekal 40 tahun hidup bersama

DATIN Seri Muhaini Zainal Abidin (tengah) bersama Datin Seri Shamsiah M Yassin (kiri) dan Chef Hasna daripada Hotel Pulse Grande menunjukkan makanan yang telah siap dimasak.
- Diterbit 2 September 2022 5:12 AM MYT

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin meluahkan rasa syukur kerana suaminya seorang yang tidak cerewet dalam soal pemakanan.

Beliau berkongsi perkara itu ketika ditemui pemberita sejurus Majlis Demo Masakan oleh isteri Perdana Menteri di Floria Diraja Putrajaya 2022 (RFP 2022), di sini hari ini.

“Datuk Seri memang tidak kerenah dalam soal makanan. Asal ada makan dia okay sahaja, sebab itulah saya boleh bertahan dengannya selama 40 tahun,” kata beliau.

Beliau juga turut berkongsi petua menghasilkan makanan yang sedap iaitu dari air tangan seorang isteri dan kasih sayang.

Menyentuh tentang RFP 2022, beliau menyifatkan penganjuran tahun ini dilihat mampu menarik ramai pengunjung pelbagai bangsa.

“Festival ini berjaya menarik ramai pengunjung dari seluruh Malaysia dan daripada situlah kita nampak Keluarga Malaysia bersatu padu,” ujar beliau.

Terdahulu, antara menu yang dimasak oleh beliau bersama isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Datuk Shamsiah M. Yassin adalah Nasi Minyak Teh Bunga, Ikan Senangin Sambal Bunga Kantan, Bunga Turi Masak Lemak, Ayam Berlada dan Daging Masak Hitam untuk hidangan 200 tetamu jemputan.

Program tersebut dijayakan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Hotel Pulse Grande Putrajaya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas