Berita

DBKL ambil 120 sampel setiap hari elak keracunan makanan di bazar Ramadan

- Diterbit 23 Mac 2023 4:34 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil sampel makanan secara rawak di 62 bazar Ramadan seluruh Kuala Lumpur secara berjadual bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata DBKL akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sepanjang Ramadan.

Mahadi berkata, sebanyak 120 sampel makanan disasarkan untuk diambil setiap hari dan akan dihantar ke Pusat Analisis dan Sekuriti Makanan DBKL (FoSAC) bagi tujuan analisis.

“Pengambilan sampel juga akan
dilaksanakan sekiranya terdapat aduan atau kes keracunan makanan.

“Sekiranya terdapat sebarang pencemaran, kompaun akan dikeluarkan kepada penjaja terbabit , ” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2023 di Taman Tasik Permaisuri di sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin.

Menurut Datuk Bandar, pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan menyenarai hitam penjaja yang didapati gagal melepasi ujian dan mereka tidak dibenarkan untuk mendapat lesen pada tahun hadapan

“Tindakan itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Petempatan Makanan 2016, UUK Pengendali Makanan 1979, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2019,” katanya.

Ujarnya, untuk rekod terdapat 19.1 peratus pencemaran sampel makanan di bazar Ramadan dikesan pada tahun lepas.

” Jumlah berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 20.4 peratus pada 2021 dan 31.9 peratus pada 2019

“Ini menunjukkan operasi seumpama
ini sangat berkesan bagi mengawal kualiti dan keselamatan makanan yang dijual
di bazar Ramadan, ” katanya.

Pada program sama Mahadi melancarkan Sifar Plastik Sekali Guna yang merupakan kesinambungan larangan dan penguatkuasaan penggunaan beg plastik, straw plastik dan bekas polisterina yang telah dikuat kuasa di Wilayah Persekutuan sejak 2017.

Mellaui kempen tersebut, pengguna digalak untuk membawa sendiri bekas dan beg guna semula semasa membeli-belah.

Larangan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap penjaja yang menjual barangan dan menggunakan beg plastik, straw plastik dan bekas polisterina. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas