Utama

Nikmati tambang percuma sehingga 31 Mac

MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penumpang setiap hari bagi tahun pertama.
- Diterbit 24 Mac 2023 2:03 AM MYT

KEWUJUDAN infrastruktur pengangkutan awam yang serba canggih sememangnya satu keperluan kepada masyarakat kini.

Terbaharu, perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya telah pun beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu dan menjanjikan perkembangan ekonomi serta kesalinghubungan yang lebih baik buat pengguna.

Merupakan projek kedua MRT Lembah Klang, laluan ini memiliki kepanjangan 57.7 kilometer (km) dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral yang merangkumi 44.2 km laluan di atas tanah dan 13.5 km laluan di bawah tanah.

Dibina dengan kos bernilai RM30.53 bilion, ia mempunyai 36 stesen termasuk sembilan stesen bawah tanah dan 49 set tren meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.

RATA-RATA pengguna berpuas hati dengan pilihan pengangkutan awam yang dilancarkan pada 16 Mac baru-baru ini.

Perkhidmatan tersebut bukan sahaja akan memudahkan pengguna berulang-alik dari ibu kota ke Putrajaya, malah ke lokasi lain melalui lapan stesen pertukaran termasuk laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, MRT Kajang dan monorel.

Dengan kemudahan pengangkutan itu, tempoh perjalanan dari Putrajaya Sentral ke Kwasa Damansara mengambil masa 84 minit dengan kekerapan tren adalah lima minit pada waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak.

Selain itu, pihak MRT Corp turut menyediakan bas perantara ke stesen, mesin tiket layan diri, pusat perkhidmatan pelanggan, platform tengah, surau, lif, eskalator, tempat letak kereta dan tandas awam bagi kemudahan pengguna.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mac 2023, MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 penumpang setiap hari bagi tahun pertama.

ANWAR

Beliau turut mengumumkan pemberian tambang percuma bagi pengguna perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya dari stesen Kwasa Damansara hingga Putrajaya Sentral sempena pembukaan rasminya bermula pukul 3 petang (16 Mac) sehingga 31 Mac 2023.

Anwar berkata langkah tersebut dibuat sebagai salah satu strategi kerajaan untuk meringankan beban orang ramai terutama dengan kos sara hidup meningkat.

“Pemerkasaan pengangkutan awam amat diperlukan dalam mengatasi kesesakan lalu lintas yang dilihat telah menjejaskan produktiviti pekerja sekali gus merugikan negara,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua di Depoh MRT Serdang baru-baru ini.

Tambah beliau, kesesakan itu menyebabkan golongan pekerja kehilangan banyak masa hanya untuk ke pejabat dan ia sangat merugikan.

“Satu kajian menarik yang saya lihat di Bangkok beberapa tahun lalu menunjukkan beberapa bilion dolar hilang dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.

“Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia juga sedang siapkan satu kerangka serta strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh dan akan dibentang pada jemaah menteri dan boleh dilaksana mengikut peringkat,” kata beliau.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

MUDAHKAN WARGA KOTA, PESAKIT DAPATKAN RAWATAN

PENGOPERASIAN penuh MRT Laluan Putrajaya (MRT2) juga membantu memudahkan orang ramai dan pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapatkan rawatan menerusi pembukaan stesen di hospital itu.

Stesen yang berhampiran dengan Institut Urologi dan Nefrologi hospital berkenaan antara stesen yang mesra pengguna dan dilengkapi kemudahan laluan gerak atau walkalator sepanjang 400 meter.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebanyak 107 bas perantara disediakan bagi menyokong perkhidmatan MRT2 dalam menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut.

ANTHONY

“Kementerian juga akan meneliti pelbagai pendekatan bagi menambah baik sistem batuan pertama dan akhir termasuk cadangan memperkenalkan perkongsian kenderaan dengan kerjasama syarikat e-hailing bagi mengoptimumkan perkhidmatan tersebut dengan harga tambang lebih murah,” ujar beliau sambil menambah pihaknya juga sedang menunggu kelulusan projek dan penganugerahan daripada Kementerian Kewangan Malaysia berkenaan status terkini MRT3.

Terdahulu, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu telah dibuka untuk pengguna pada 16 Jun 2022. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas