Berita

Datuk Bandar kongsi idea SDGs dengan Duta Asing

MAHADI (duduk dua dari kiri) bergambar bersama Duta Norway, Finland dan Sweden.
- Diterbit 11 Mac 2022 8:00 AM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkongsi idea mengenai kepentingan membentuk kerjasama mewujudkan Pelan Matlamat Pembangunan Mampan atau SDGs.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Duta Norway, Duta Finland dan Duta Sweden yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurutnya Forum dan Pameran SDGs adalah platform yang tidak ternilai untuk berkongsi ilmu dan memacu kesedaran orang ramai tentang kepentingan SDGs.

“Selaras dengan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencapai keamanan dan kemakmuran global untuk manusia dan planet ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membayangkan ibu negara kita sebagai sebuah bandar yang benar-benar mampan, boleh didiami, berdaya tahan, selamat dan inklusif untuk semua,” ujarnya.

Jelas beliau Kuala Lumpur sepertimana bandar utama lain sering kali berdepan dengan cabaran mengharungi kesan perubahan iklim, kemelesetan ekonomi, berkembangnya demografi dan yang terkini COVID-19. SDGs memainkan peranan penting, kerana ia membimbing kita ke arah masa depan yang berdaya tahan,” katanya.

Difahamkan, pendekatan Kuala Lumpur terhadap SDGs adalah berdasarkan tiga teras asas iaitu sosial, ekonomi dan alam sekitar yang dicerminkan dalam penggabungan 17 SDGs dalam rancangan pembangunan kami, yang menerajui pertumbuhan mampan bandar kami.

Kata Datuk Bandar setiap wilayah, negara dan bandar, adalah unik dalam cabarannya, dan oleh itu, memerlukan pendekatan yang bersasar.

“Kami berharap dapat menangani risiko perubahan iklim semasa dan masa hadapan dengan segera, sambil membentuk Kuala Lumpur menjadi lebih kondusif untuk pertumbuhan ekonomi dengan kawasan KL yang lebih sihat dan lebih bahagia,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas