Biz

Creative Minds perkenal teknologi bantu pelajar teroka bidang STEM

PESERTA di bawah Creative Minds berpeluang menerokai teknologi seperti Robotik, 3D Printer dan Pocket Lab Analyst serta mengikuti kelas yang diadakan secara atas talian.
- Diterbit 27 Ogos 2022 10:00 AM MYT

PENGGUNAAN teknologi pada masa kini dilihat sebagai satu inti pati penting bukan sahaja sekadar untuk carian maklumat atau medium komunikasi bahkan ia juga diguna pakai dalam sistem pembelajaran.

Menyedari akan kelebihan itu, Syarikat Creative Minds mengambil langkah memperkenalkan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) kepada kanak-kanak sekolah rendah, menengah dan pelajar universiti tentang kepentingan teknologi tersebut.

MUHAMMAD SHAFIQ

Menurut Pengarah Pengurusan Creative Minds, Ts. Muhammad Shafiq Shahrul Amar, penubuhan syarikatnya 10 tahun lalu kerana dia melihat kurangnya pendedahan dalam bidang teknologi robotik ketika itu.

“Saya juga dapat lihat beberapa kekurangan dari segi kualiti kerja serta peluang pekerjaan buat pelajar lepasan universiti. Jadi, saya dan pasukan bergerak ke sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa serta universiti untuk berkongsi ilmu berkenaan teknologi.

“Waktu itu, melalui program-program yang telah dilakukan, saya lihat ramai pelajarberminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang teknologi yang serta berkemahiran dalam menggunakannya.

“Kebanyakan pelajar luar bandar lebih memahami dan mahir dengan bidang ini misalnya kalau kita berikan robot mereka faham konsep apa yang akan dilakukan kerana rata-ratanya berkebolehan cuma tiada peluang untuk melakukannya,” katanya kepada Wilayahku.

Kongsinya tentang teknologi robotik, pecahan lego akan digunakan untuk membina robot seterusnya peserta akan diajar berkenaan kod yang mana ia digunakan untuk subjeksubjek seperti Matematik, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan Fizik.

Berkongsi lanjut tentang penglibatan awal Creative Minds dalam
setiap program yang dianjurkan, ia bermula dengan teknologi robotik sahaja dan kini sudah mempunyai dua lagi teknologi baharu.

“Teknologi terkini yang diperkenalkan adalah 3D Printer dan Pocket Lab Analyst di mana mereka belajar mengenai mereka bentuk serta analitik data. 3D Printer bagi subjek Sejarah di mana cikgu akan menunjukkan lokasi-lokasi penting melalui lukisan 3D dan seterusnya Pocket Lab Analyst digunakan untuk subjek fizik,” ujarnya.

Jelasnya lagi, ketiga-tiga teknologi yang diperkenalkan boleh digunakan sebagai medium pembelajaran di sekolah.

“Kalau di sekolah teknik pembelajaran hanya secara teori jadi kita datang dengan teknologi yang membolehkan mereka melakukan praktikal. Pelajar boleh mengaplikasi pembelajaran secara teori tersebut seterusnya membantu mereka untuk lebih mengingati apa yang dipelajari seterusnya menjadikan sesi pembelajaran di sekolah lebih menarik,” katanya yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas.

 

300 SEKOLAH TERIMA MANFAAT

BERCERITA tentang tekonologi yang dicipta, Creative Minds akan bergerak ke sekolah-sekolah bagi perkongsian ilmu berkenaan teknologi dan sehingga kini sebanyak 300 sekolah telah dikunjungi.

“Kita banyak berkolaborasi bersama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan ia bergantung pada program kerana tidak semua sekolah menerima sepenuhnya pendidikan teknologi ini.

“Tumpuan kami lebih di sekolah menengah kerana kami mahu mendedahkan pelajar serta mendorong mereka untuk memilih aliran sains seterusnya membantu mereka meneroka karier jurutera dan penganalisis data,” jelasnya.

Berkongsi cabaran dalam meneruskan perniagaanya, Muhammad Shafiq berkata pendidikan berkenaan teknologi masih dianggap pembelajaran kokurikulum oleh kebanyakan sekolah di Malaysia.

“Antara cabaran yang dihadapi, ramai yang beranggapan ia hanya pembelajaran kokurikulum bukan teras. Pelajar hanya melakukan pembelajaran secara tradisional dan sekiranya mereka ingin mencuba sesuatu yang menyeronokkan ia perlu dilakukan di luar waktu persekolahan.

“Apa yang kami cuba ketengahkan ialah teknologi ini boleh diguna  pakai dan dibawa ke dalam bilik darjah dan cara penggunaannya tidak terlalu ekstrem atau sukar di mana pelajar sekolah rendah juga mampu mahir menggunakannya dengan tunjuk ajar yang betul.

“Biarpun begitu, terdapat beberapa sekolah yang menunjukkan minat terhadap pendidikan teknologi dan membeli teknologi tersebut daripada pihaknya,” ujarnya yang turut membuka peluang bagi mereka yang berminat menjadi pelatih di bawah Creative Minds.

Katanya lagi, mereka boleh melayari laman web STEM.org.my dan pelajar boleh mengikuti kelas secara atas talian.

“Bermula dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua data serta kelas kita adakan secara atas talian melibatkan seluruh pelajar di Malaysia dan pada tahun ini sahaja kita mempunyai seramai 5,000 peserta,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas