Advertorial

CCoE berpotensi jadi hab keselamatan

- Diterbit 29 Mac 2024 1:27 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerjasama yang dirintis Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Malaysia (CCoE) bersama syarikat perisian Kanada, Blackberry Ltd berpotensi menjadi tarikan antarabangsa dalam usaha menangani ancaman siber.

Anwar berkata pusat yang bakal menghimpunkan kepakaran di dalam bidang tersebut bakal mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang teguh, yang memerlukan perkongsian kukuh merentas sektor awam dan swasta.

“Ke arah persekitaran digital yang lebih selamat, kami boleh bekerjasama untuk membangunkan rancangan yang menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran kepakaran antara agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan lain termasuk berkongsi perisikan ancaman yang boleh diambil tindakan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran CCoE dengan kerjasama Blackberry di Cyberjaya pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Promosi Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Canada, Mary Ng; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Kementeri Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Isa dan Pesuruhjaya Tinggi Canada ke Malaysia, Wayne Robson.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin; Timbalan Ketua Polis Negara, Deputi Inspektor General (DIG) Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Salim Fatih Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Blackberry LTD, John J. Giamatteo.

Katanya, Malaysia memuji Blackberry kerana membantu meningkatkan kemahiran pakar pertahanan siber generasi sekali gus mempercepatkan matlamat untuk memperkukuh keselamatan dan inovasi negara dan serantau.

“Malaysia kekurangan 12,000 profesional keselamatan siber. Kami memerlukan 25,000 pekerja dalam keselamatan siber menjelang 2025,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan membayangkan penubuhan pusat ini sebagai hab pembinaan kapasiti untuk rantau Asia Tenggara, dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan perkongsian risikan ancaman, dan memupuk kerjasama serantau dalam mengurangkan ancaman keselamatan siber dan memerangi jenayah siber.

“Sebagai lokasi yang dipilih untuk penubuhan CCoE, Malaysia berhasrat untuk mencapai matlamat bersama kami untuk mewujudkan ekosistem kemahiran dan pembelajaran yang berdaya saing global di rantau Indo-Pasifik.

“Selain itu, ia juga dapat menjalin perkongsian antarabangsa, khususnya yang memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, mengambil kira kepentingan dalam pertumbuhan positif trajektori ekonomi kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, melalui kerjasama strategik ini, Malaysia bukan sahaja merangsang kemajuan dan kemakmuran ekonomi tetapi juga meningkatkan daya tahan infrastruktur keselamatan siber terhadap risiko yang melanda landskap digital dengan memastikan data negara, perbualan dan rakyat selamat.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan telah berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang mencatatkan peningkatan RM329.5 bilion pada 2023 iaitu paras tertinggi pernah direkodkan, yang memberi petanda baik untuk 2024 dengan mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat di Malaysia.

“Usaha ini akhirnya akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat, seiring dengan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

“Di bawah rangka kerja ini, kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu mempercepatkan pertumbuhan perusahaan dan perkhidmatan untuk meningkatkan produktiviti mereka dengan ketara serta mengembangkan kecekapan keselamatan siber Malaysia dalam domain digital,” katanya.

Sementara itu, Mary Ng dalam ucapannya menyifatkan perjanjian yang dimetrai bersama Malaysia menandakan keutuhan kepimpinan negara tersebut dalam aspek keselamatan siber serantau khususnya di Indo-Pasifik.

Dengan menggunakan Blackberry yang mempunyai teknologi berkelas dunia berkupayaan untuk meningkatkan keselamatan siber dan pada masa sama menentang ancaman berasaskan siber dari luar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas