Advertorial

MCMC-MPDRM jalin kerjasama strategik

- Diterbit 15 Mac 2024 9:40 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Maktab Polis Diraja Malaysia (MPDRM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melibatkan pembangunan kapasiti berkaitan jenayah siber dan narkotik.

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din yang mewakili MCMC dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mewakili PDRM menandatangani MoU disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Memetik kenyataan, Unit Korporat MCMC memaklumkan bahawa menerusi MoU tersebut, MCMC dan MPDRM akan menjalin kerjasama tidak terhad dalam beberapa aspek antaranya adalah inisiatif pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan termasuklah pembangunan bersama silibus.

“Dalam masa yang sama, menyediakan kepakaran iaitu pegawai MCMC atau pegawai PDRM sebagai pensyarah atau penceramah di dalam latihan dan penyelidikan yang akan dilaksanakan berkaitan siasatan dan penguatkuasaan.

“Selain itu, penempatan silang dan rentas fungsi untuk pegawai kedua-dua agensi,” mengikut kenyataan itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, selain pemeteraian MoU, MCMC juga komited dalam membantu menaik taraf capaian rangkaian di MPDRM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“MCMC yakin, penambahbaikan kepada liputan rangkaian dapat memberi manfaat kepada anggota-anggota polis, khususnya yang mengikuti latihan serta kursus di Maktab PDRM Kuala Lumpur,” katanya.

Fahmi berkata, kerjasama tersebut akan memperkukuh pembangunan bakat khususnya dalam industri komunikasi dan multimedia, seterusnya memacu ke arah ekonomi yang lebih mampan.

Sementara itu, dalam ucapan aluan, Razarudin berkata langkah yang diambil pihaknya merupakan antara usaha PDRM mendepani cabaran berkaitan jenayah terbabit yang disifatkan kian meruncing di negara ini berikutan kelemahan tembok keselamatan (firewall) sehingga berlaku serangan siber hampir setiap hari.

“MPDRM sudah bersiap sedia untuk menjadi pusat bagi penyelidikan dan latihan dalam keselamatan siber serta pembanterasan penyalahgunaan bahan terlarang. Ini akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam memerangi ancaman ini di peringkat serantau,” katanya.

Tegas beliau sekiranya langkah yang perlu tidak diambil mengikut perkembangan semasa, jenayah melibatkan siber dan narkotik dikhuatiri menjadi lebih serius.

Bagi membendung jenayah berkenaan, Razaruddin berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan agensi berkaitan supaya usaha yang diambil dapat membuahkan hasil sekali gus mengurangkan jenayah berkaitan siber dan narkotik.

Dalam kenyataan berasingan, MCMC berkata MoU antara PDRM dan UKM membolehkan lebih ramai siswazah dalam kalangan anggota polis yang berfikiran kritis dan berkemampuan dilahirkan dengan mengaplikasikan penggunaan sains kepolisan dalam pekerjaan mereka.

“Selain pemetraian MoU ini, MCMC juga komited dalam membantu menaik taraf capaian rangkaian di MPDRM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“MCMC yakin penambahbaikan kepada liputan rangkaian dapat memberi manfaat kepada anggota-anggota polis khususnya yang mengikuti latihan serta kursus di maktab berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas