Advertorial

MCMC, Huawei jalin kerjasama lahir pemimpin digital masa hadapan

- Diterbit 8 April 2024 3:35 PM MYT

KIRA-KIRA 300 peserta dijangka terlibat dalam jawatan kepimpinan meliputi agensi kerajaan, industri dan akademia menerusi dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Selaras itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) melancarkan Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital: Mengemudi Sempadan Teknologi baru-baru ini.

Inisiatif program pembangunan bakat tersebut bertujuan memperkasakan pemimpin merentasi industri dan sektor awam dengan kemahiran dan pengetahuan yang penting.

Matlamatnya adalah untuk membolehkan mereka menerajui transformasi digital dalam organisasi masing-masing.

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berharap agar kolaborasi bersama Huawei bagi program ini dapat mencapai matlamatnya dalam melahirkan pemimpin-pemimpin digital serta mampu meningkatkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi juga kepimpinan.

“Seterusnya, diharapkan juga agar segala ilmu yang digarap menerusi program lapan bulan ini akan dapat memberi manfaat kepada semua peserta untuk maju dalam kerjaya dan bidang masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran majlis itu di Pusat Latihan Global Huawei Malaysia, Cyberjaya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata program selama lapan bulan itu dapat dilaksanakan dengan sokongan penuh dan kerjasama MCMC.

“Program itu menawarkan pendekatan pembelajaran gabungan yang komprehensif, termasuk pembelajaran dalam talian, bengkel, penyertaan dalam persidangan Huawei, penempatan praktikal, projek kecemerlangan di Huawei Malaysia dan lawatan industri tujuh hari ke China.

“Penubuhan program ini susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa ucapan penutupnya di Sidang Kemuncak ICT Malaysia yang dihoskan oleh Huawei September lalu di mana beliau menggalakkan Huawei merangka program ini bagi memastikan mereka yang mempunyai kuasa (positions of authority), sama ada dalam kerajaan, akademik atau sektor swasta, sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan dimaklumkan tentang teknologi serta inovasi terkini.

“Ia bagi mengelakkan mereka daripada ketinggalan dalam zaman digital ini.

“Pemimpin organisasi, kementerian dan akademia perlu mendalami pelbagai domain teknologi untuk memacu penggunaannya dan memanfaatkan keupayaan transformatifnya untuk mencipta hasil yang lebih baik, tanpa mengira sektor atau industri,” ujarnya.

Simon berkata program ini dibangunkan oleh Huawei Malaysia dan MCMC membantu dalam merealisasikannya.

“Apa yang diharapkan oleh program ini adalah untuk melengkapkan generasi pemimpin organisasi sekarang dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang teknologi pesat membangun untuk memperoleh kemahiran teknologi tambahan dan dapat menggunakan pengetahuan serta kemahiran ini dengan jayanya untuk meningkatkan kecekapan operasi,” ujarnya.

Tambahnya, memandangkan tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, pengambilan pertama untuk program itu telah ditetapkan untuk 50 peserta bagi memperingati majlis itu.

Mengulas lanjut, Simon berkata selain ditaja sepenuhnya oleh Huawei Malaysia dan dipilih susun (curated) bersama SKMM, inisiatif Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital: Melayari Sempadan Teknologi mengiktiraf kekangan masa yang sering dihadapi oleh individu dalam peranan kepimpinan, menawarkan persekitaran pembelajaran gabungan yang fleksibel yang membolehkan 75 peratus pembelajaran dalam talian dan 25 peratus fizikal.

“Lapan domain utama kandungan yang akan berada dalam 32 modul ialah Kepimpinan, teknologi 5G, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), Pengkomputeran Awan, Data Raya, Teknologi Hijau dan Keselamatan Siber.

“Peserta akan mendalami kajian kes, pembentangan, perbincangan kumpulan dan pembelajaran berasaskan pengalaman untuk mengikuti perkembangan terkini dan trend industri,” ujarnya.

Terdahulu, Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara MCMC dan Huawei Malaysia bagi melaksanakan program itu ditandatangani pada Kongres Dunia Mudah Alih 2024 di Barcelona, Sepanyol bulan lepas. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas