Berita

Ahli Lembaga Pengarah YWP lafaz ikrar bebas rasuah

SESI lafaz ikrar bebas rasuah bersempena Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP yang diadakan di Dewan Seri Melati, Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 1 Jun lalu.
- Diterbit 9 Jun 2023 12:00 PM MYT

AHLI Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menzahirkan komitmen dalam usaha memerangi jenayah rasuah dengan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Sesi lafaz tersebut diketuai Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Datuk Seri Mahadi Che Ngah disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi YWP bersama 12 Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang lain.

Detik tersebut disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Azam dalam ucapannya menyeru serta menggalakkan agensi-agensi serta jabatan-jabatan lain supaya mengambil langkah proaktif dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

“Dengan perkembangan pesat teknologi pada masa kini, jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa menjadi semakin kompleks di mana ia memerlukan kaedah penyiasatan serta pencegahan yang lebih efisien dan terancang,” ujar beliau.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, Datuk Razim Mohd Noor. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas