Advertorial

Bukti komitmen kemajuan teknologi, Malaysia nombor 1 skor 5G Global

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil merasmikan Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC 2024), Barcelona bersama Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunimasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin (kiri)
- Diterbit 5 Mac 2024 11:20 AM MYT

MALAYSIA kini berada di kedudukan pertama seluruh dunia untuk Skor Konsistensi 5G pada tahap 97.27 peratus menurut Ookla pemimpin global dalam perisikan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan pencapaian ini bukan sahaja membuktikan komitmen Malaysia terhadap kemajuan teknologi, tetapi juga mencerminkan usaha bersepadu oleh industri telekomunikasi, badan kawal selia dan agensi kerajaan untuk membina infrastruktur 5G yang teguh dan boleh dipercayai.

“Skor tersebut merupakan metodologi khusus Ookla untuk mengukur kelajuan yang memenuhi kedua-dua kriteria – muat turun dan muat naik – masing-masing 25 Mbps dan 3 Mbps,” kata Kementerian Komunikasi baru-baru ini.

FAHMI (tengah) bersama deligasi Malaysia ke MCW 2024.

Kenyataan itu juga menyatakan, berdasarkan data Speedtest Intelligence Ookla pada suku keempat 2023 pula, Malaysia menduduki tangga ketiga peringkat global bagi kelajuan muat turun 5G, iaitu 451.79 Mbps.

“Ini meletakkan Malaysia mendahului negara jiran di Asia Tenggara, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Malaysia bersedia untuk beralih kepada model dwirangkaian dan memacu inovasi serta meningkatkan prestasi rangkaian mudah alih.

“Ini mencerminkan Malaysia terbuka untuk menerima teknologi baharu dan memupuk persekitaran yang menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan,” kata kenyataan itu.

Kementerian Komunikasi turut menyatakan, berdasarkan laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), Malaysia turut melakar kejayaan setelah memperoleh skor cemerlang 94.5 daripada 100, dalam Indeks Pembangunan ICT 2023.

“Skor ini menjangkau purata global yang membolehkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 peringkat global dan ke-3 di rantau ASEAN,” katanya.

PAVILION Malaysia di MCW 2024.

Malaysia telah berjaya melancarkan Pavilion Malaysia yang membuat penampilan sulung di Mobile World Congress (MWC 2024).

“Penyertaan Malaysia di MWC 2024 diketuai oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak sebagai agensi pelaksana,” kata kenyataan itu.

Bertemakan Accelerating a Connected Tomorrow, pavilion ini membuka peluang untuk Malaysia menyerlahkan komitmen dan ketersediaan sebagai hab inovasi dalam sektor komunikasi. Pavilion Malaysia di MWC 2024 menampilkan para pempamer daripada sektor komunikasi di peringkat antarabangsa.

Fahmi berkata, Tema Pavilion Malaysia ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memacu pembangunan dan inovasi yang kini bergerak pantas.

“Kami menyasarkan Malaysia kekal berada di barisan hadapan kemajuan teknologi,” katanya dalam kenyataan sama.

Kementerian Komunikasi berkata, sehingga penghujung tahun 2023, 8.4 juta premis telah memperoleh akses Internet berkelajuan gigabit dan purata kelajuan jalur lebar amat membanggakan iaitu mencecah 178.1Mbps dan liputan rangkaian di kawasan berpenduduk mencatatkan 97.07 peratus.

“Satu lagi kejayaan pelaksanaan 5G Malaysia ialah menerusi penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV) untuk mempercepat proses pelaksanaan 5G.

“Hasilnya, Malaysia mencatatkan 80.2 peratus liputan rangkaian di kawasan berpenduduk,” katanya.

Terdahulu, pada MWC 2024, beberapa memorandum persefahaman akan ditandatangani yang menumpukan bidang strategik utama dan tidak terhad kepada penyelesaian 5G bertaraf dunia, percubaan lapangan termaju 5G serta pembangunan bakat dalam industri komunikasi.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas