Berita

Bukan sekadar beri sumbangan

KAKITANGAN YWP membersihkan lumpur di halaman kediaman mangsa yang
- Diterbit 31 Disember 2021 7:18 AM MYT

KAKITANGAN Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) tidak ketinggalan membantu mangsa banjir menerusi program Gotong Royong Perdana Keluarga Malaysia di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor, Ahad lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun, gotong-royong itu dimulai dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Program bermula seawal 9 pagi apabila Perdana Menteri bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meninjau Surau Al Munir Taman Sri Nanding.

“Gotong-royong itu turut disertai sebahagian besar agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ),” katanya.

Tambahnya, anak syarikat YWP iaitu Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) dan YWP Media turut membantu membersihkan rumah yang terjejas.

“Seramai 32 kakitangan YWP turun padang dengan berbekalkan water jet, plastik sampah, penyapu, penyodok, sarung tangan getah, kasut but getah dan kereta sorong.

“Mereka bergotong-royong membersihkan lumpur dan peralatan di rumah mangsa banjir seperti pinggan mangkuk dan periuk yang kotor akibat terjejas banjir,” ujarnya mengenai pembersihan pasca banjir yang dilakukan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua kakitangannya serta anak syarikat yang sedia menyumbang tenaga dalam misi pasca banjir ini.

“Terima kasih kepada mereka yang sentiasa komited dalam membantu warga Wilayah Persekutuan dan juga rakyat Malaysia yang lain melalui konsep Keluarga Malaysia ini.

“Diharapkan semangat ini akan terus disemai dan diterap dalam semua kakitangan YWP serta anak syarikat bagi membantu keluarga Malaysia yang ditimpa musibah.

“Kita akan terus membantu dalam apa jua keadaan mengikut kemampuan dan diharapkan akan berterusan tanpa perlu diarahkan. Jangan tunggu terlalu lama kerana mangsa yang ditimpa musibah ini perlukan bantuan dan sokongan daripada kita semua,” tambahnya pihak YWP turut menghantar kakitangannya bagi misi banjir di Pahang yang teruk terjejas.

Jelasnya lagi, gotong-royong seperti itu akan terus diadakan dan YWP akan sentiasa berkhidmat untuk Keluarga Malaysia khasnya warga Wilayah Persekutuan dalam program kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain kerja pembersihan pasca banjir, YWP turut mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa serta petugas di sekitar Taman Sri Muda, Hulu Langat, Dengkil dan Sungai Penchala termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS) antaranya Dewan Sultan Sulaiman, Dewan Jalan Hamzah dan SJK(T) Saraswathy. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas