Berita

Beri ruang pihak berkuasa siasat Azam Baki – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak antaranya Suruhanjaya Sekuriti dan SPRM.
- Diterbit 8 Januari 2022 8:17 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Tegasnya, siasatan terhadap kes itu telah dilakukan pelbagai pihak, termasuklah Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan SPRM turut menjalankan siasatan dalaman sekali gus menolak dakwaan bahawa kerajaan berdiam diri.

“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah.

“SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.

“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh ‘jump into conclusion‘ seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir di Kota Marudu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mendesak Azam dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat segera oleh satu badan bebas berhubung dakwaan itu, selain menyarankan dua individu berkenaan ‘direhatkan’ sementara siasatan berjalan.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Ismail turut memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat dengan salah laku, namun menyeru semua pihak supaya sentiasa konsisten dan berlaku adil terhadap sesiapa sahaja.

“Kita mesti yakin dan percaya dengan sistem yang kita ada, biar SPRM dan SC siasat dahulu… dahulu ada Ketua Menteri Pulau Pinang disiasat, tiada pula saranan direhatkan, kita kena konsisten jangan pula ada dwi-standard,” katanya.

Ujarnya, kerajaan akan memastikan SPRM kekal sebagai sebuah badan bebas dan memberi jaminan bahawa tiada campur tangan termasuk daripada Perdana Menteri sendiri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas