Berita

Dua NGO sumbang 1,000 bakul makanan kepada keluarga B40

JESSICA (dua dari kiri) bersama Tan Chee Keong (dua dari kanan) mewakili Club Lions Mandarin Labuan menyerahkan bakul makanan kepada keluarga B40 di Kampung Patau-Patau Satu. JESSICA (dua dari kiri) bersama Tan Chee Keong (dua dari kanan) mewakili Club Lions Mandarin
- Diterbit 8 Januari 2022 8:00 AM MYT

LIONS Club Mandarin Labuan dengan kerjasama Yayasan KF Care mengagihkan 1,000 pek bakul makanan kepada keluarga B40 yang terkesan di pulau itu.

Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada projek pengedaran makanan Lions Club Mandarin Labuan bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan, badan korporat dan syarikat swasta.

Pengerusinya, Lion Chua Pui Shien berkata, antara barangan bakul makanan itu adalah beras, minyak masak, sardin, tepung dan sebagainya.

“Dalam menghadapi cabaran kewangan di waktu pandemik COVID-19 ketika ini, banyak keluarga dan anak-anak kecil tidak mendapat diet yang betul dan seimbang.

“Dengan sumbangan seperti ini dapat memastikan masyarakat di Labuan terutamanya keluarga B40 yang kurang bernasib baik, mempunyai akses kepada makanan yang betul menerusi pemakanan asas,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Chua Pui berkata, agihan bakul makanan itu diedarkan di lapan lokasi iaitu di JKM Labuan, Balai Raya Patau-Patau 2, Balai Raya Kampung Sungai Labu, Pusat Komuniti Sungai Bedaun, Sekolah Kebangsaan Lubuk Temiang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK)(C) Chi Wen, SRJK(C) Chung Hwa dan SM St Anthony.

Tambah beliau, pihaknya sedar akan cabaran yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah dalam meneruskan kehidupan di waktu pandemik ini.

“Justeru itu, kami sentiasa komited dalam menyediakan bakul makanan kepada golongan yang terkesan ketika ini,” katanya lagi. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas