Berita

Beri perhatian kesihatan mata, cegah buta – Dr Noor Hisham

- Diterbit 13 Oktober 2022 11:00 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggesa masyarakat agar memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan mata dan pencegahan kebutaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata prevalen atau kelaziman kebutaan dalam populasi negara adalah 1.2 peratus dan berdasarkan Banci Mata Kebangsaan 2014 antara punca utama kebutaan di Malaysia adalah katarak iaitu sebanyak 58.6 peratus, diabetik retinopati (10.4 peratus) dan glaukoma sejumlah 6.6 peratus.

Katanya penyebab utama penglihatan terhad adalah katarak dan rabun yang tidak dirawat.

“Bagaimanapun, hampir 80 peratus penyebab utama kebutaan boleh dirawat dan dicegah,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Penglihatan Sedunia 2022 hari ini bertemakan ‘Sayangi Mata Anda’.

Hari Penglihatan Sedunia disambut bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan deria penglihatan, kesihatan mata dan masalah kebutaan.

“Sayangilah mata anda dengan mengambil langkah pencegahan untuk melindungi dan mengekalkan penglihatan yang baik dengan melakukan pemeriksaan mata secara berkala,” kata Dr Noor Hisham. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas